Pages

Search This Blog

Friday, November 29, 2013

Hantu Pokok Pisang


     Selepas setahun berlalu dan ayah Seriayu telah membina sebuah rumah sendiri dibelakang rumah ibu mertuanya, hasil wang pampasan tenteranya.  Ayah Seriayu seorang yang rajin menternak ayam, kambing maupun bercucuk tanam.  Banyak pokok-pokok buah-buahan serta sayur-sayuran ditanam di sekeliling rumah memandangkan ibu mertuanya mempunyai tanah yang cukup luas.

     Dipenjuru dapur dan bersebelahan bilik air, ayah Seriayu telah menanam pokok pisang Awak dan pokok pisang Berangan memandangkan kawasan tersebut redup dan sejuk.  Segar dan bugar pokok-pokok pisang tersebut dan bercambah dengan cepat sehinggakan ia membentuk satu bulatan yang kosong ditengahnya.  Seiayu adik beradik selalu menyorok di dalam kawasan tersebut jika bermain sorok-sorok dan selalu dimarahi ayah kerana dikuatiri pokok pisangnya rosak.

     Kakak Seriayu yang kedua telah mula bekerja di Alor Setar dan ia berulang-ulik ketempat kerjanya.  Seawal pukul 6 pagi, ia berjalan meredah kegelapan malam sambil membawa lampu suluh menyusuri rumah-rumah jiran untuk menunggu bas di sebatang jalan besar.  Pada suatu hari, selepas pulang dari kerja ia menceritakan pengalaman seram kepada ibunya.  Sewaktu ia berjalan, kedengaran loceng kaki yang dipakai wanita bangsa India mengekorinya dari belakang.  Bila ia menoleh, tiada apa-apa disitu dan bila ia berjalan semula loceng tersebut akan jelas kedengaran disertai dengan bau-bauan bunga yang harum mewanggi.  Ia mempercepatkan langkahnya untuk sampai ditepi jalan besar yang diterangi lampu jalan.  Ibu Seriayu berjanji pada anaknya yang ia akan menemannya pada keesokan hari.  Kegirangan kakak Seriayu dan selesai sudah rasa takut dan runsingnya.

     Pada keesokan harinya, ibu Seriayu bersedia untuk menemani kakak Seriayu ketempat menunggu bas.  Dikejutkan Seriayu serta dua adiknya untuk bangun dan bersiap-siap untuk kesekolah.  Seriayu belajar didalam Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Bedong dan dua adiknya belajar di Sekolah Rendah Semeling.  Seriayu melangkah kebilik air sambil menyanyi-nyanyi perlahan-lahan untuk menghilangkan rasa mengantuknya.  Bilik air rumah Seriayu mempunyai ruang kosong diantara dinding dan bumbung.  Disebabkan ruang kosong itu sehasta lebarnya dan memanjang selebar luas bilik air maka jelas kelihatan pokok-pokok pisang disebelahnya.  Pada pagi itu, Seriayu terasa gemuruh dan tak sedap hati tetapi dilawannya perasaan kerana mungkin perasaan ini timbul kerana ibunya tiada dirumah.  Ia menolak pintu bilik air perlahan-lahan dan matanya terpaku pada atas sebatang pokok pisang yang paling besar.  Apakah makluk yang sedang bersila kemas di atas pokok tersebut.  Memandangkan Seriayu seorang yang berani dan tidak akan menegur benda-benda pelik yang dilihatnya maka ia menajamkan penglihatannya dan cuba untuk melihatnya dengan lebih jelas.  Pada ketika itulah, makhluk yang duduk membelakangkan Seriayu telah menoleh kepadanya perlahan-lahan sambil mengeluarkan suara yang sukar untuk dijelaskan.  Seriayu menampar daun pintu bilik air dan ia terus berlari meluru pada adik-adiknya.  Dalam beberapa minit selepas itu dan bila perasaannya stabil, ia mengajak adik-adiknya untuk melihat makhluk tersebut.  "Nak tengok hantu tak?" kata Seriayu pada adik-adiknya berulang kali sambil ditarik tangan adik-adiknya ke bilik air.  Adik-adiknya meraung-raung ketakutan sambil meronta-ronta sehinggakan ibunya lari terkejar-kejar pulang kerumah bila kedengaran riuh rendah dari jauh.  Seriayu menceritakan kejadian tadi dimana ia ternampak satu makhluk rambut panjang melepasi bahu, kurus tak berbaju, berkulit hijau gelap dan bertaring sedang duduk bersila diatas pokok pisang sebelah bilik air.  Ibunya mengucap panjang dan mengejutkan abang Seriayu dari tidur.  Abang Seriayu keluar dan mencari-cari kesan tapak kaki kerana difikirkan ada orang yang mengintai adiknya mandi, tetapi hampa.  Ibu dan ayah Seriayu mengambil keputusan untuk menebang semua pokok pisang berdekatan rumah untuk mengelak dari menjadi tempat perkampungan makhluk tersebut.  Wallahuallam......

TAMAT.

Nukilan dari,
masryarnida.
                                                      lakaran penulis
                       Hantu Pokok Pisang

1 comment:

  1. dulu ada satu cerita tv pasal hantu pokok pisang ni, masa tu tahun hujung 80-an atau 90-an lah, tapi dah tak ingat tajuk apa

    ReplyDelete