Pages

Search This Blog

Tuesday, November 26, 2013

Pelesit

     Peristiwa seram ini berlaku pada tahun 1975 di sebuah kawasan felda yang baru diterokai dan terpencil.  Seriayu, gadis kecil ini telah berpindah dari sebuah kem tentera dan tinggal bersama keluarganya di penempatan baru yang disediakan khas untuk bekas-bekas tentera.  Seriayu masih dengan sikapnya yang suka menyendiri dan memendam perasaannya.

     Sewaktu tiba di lokasi tersebut yang terletak di Sungai Koyan, Raub, Pahang, rumah itu didiami oleh tebuan yang membuat sarang, betul-betul di bawah alang tiang seri.  Ibu dan ayah Seriayu memunggah barang-barang dari trak askar dan diletakkan dipenjuru rumah dengan hati-hati dikuatiri tebuan-tebuan akan naik berang jika sedar yang mereka diancam.  Pada malam tersebut Seriayu sekeluarga tidur bersama-sama dalam satu bilik dan ditutup lubang-lubang angin kerana hari telah larut malam.  Pada keesokannya ramai rakan-rakan ayah Seriayu yang juga bekas-bekas askar membuat unggun api dan tolong menghapus dan menghalau tebuan-tebuan itu dari rumah tersebut.

     Ibu dan ayah Seriayu mula mengemas rumah dan menyusun atur perabot.  Rumah Felda Sungai Koyan 3 hanya mempunyai satu bilik tidur yang besar maka mereka sekeluarga tidur bersama dengan dipisahkan oleh tiga kelambu iaitu ibu dan ayah Seriayu serta adik-adiknya, abang-abangnya dan Seriayu bersama dengan kakak keduanya memandangkan kakak sulung pulang kekampung nenek mereka di Kedah.

     Setiap malam, kawasan felda yang terletak di dalam hutan belantara itu sunyi sepi dan hanya kedengaran sayup-sayup suara ungka serta lolongan anjing-anjing liar bersahut-sahutan.  Tiada kejadian ganjil berlaku sehinggalah genap seminggu mereka menetap disitu.  Seriayu mula mendengar suara-suara yang menyeramkan dan dengusan-dengusan di dapur rumahnya.  Adik Seriayu yang baru masuk lima bulan itu mula merengek-rengek dan semakin lama semakin kuat tangisannya sehinggalah kelam kabut ibu dan ayah Seriayu dibuatnya.  Adik Seriayu mula susut tubuh badannya dan sering menangis tanpa sebab, akhirnya ayah meminta air penawar pada seorang ustaz disitu.  Alhamdulillah, ianya mujarab dan adik Seriayu tidak lagi menangis malam.

     Rumah Seriayu terletak di hujung jalan Sungai Koyan 3 dan disebelahnya jelas kelihatan pokok-pokok sawit sayup mata memandang.  Setiap malam rumah mereka akan kedengaran suara kijang, babi hutan dan bebagai-bagai haiwan yang ayah Seriayu sendiri pun tak pasti bila disoal anak-anaknya.  Suara-suara haiwan ini hanya kedengaran bila sudah larut malam.

     Genap satu bulan mereka sekeluarga tinggal disitu, pada malam bulan mengambang yang jatuh pada hari Khamis malam Jumaat bermulalah gangguan yang menimpa Seriayu, gadis kecil pendiam yang waktu itu umurnya 5 tahun.  Pada malam itu, sekitar pukul 3 pagi kedengaran tapak kaki berlegar-legar diruang tamu rumah tersebut.  Seriayu yang terjaga hanya memasang telinga sambil memeluk erat bantal.  Ia hanya kaku membisu dan cuba untuk melelapkan mata tetapi sukar.  Tiba-tiba kedengaran lolongan anjing hutan bersebelahan dengan bilik dan serentak dengan itu juga, Seriayu dapat merasa yang kepalanya seperti dicakar-cakar perlahan-lahan.  Walaupun didalam kelambu, hujung kakinya mengadap kedinding dan kepalanya terletak ditengah bilik dan kakaknya tidak sedar walaupun dikejut Seriayu berkali-kali.  Lampu gasolin yang masih menyala suram diruang tamu menerang kekawasan bilik dengan cahaya yang agak suram.  Seriayu mendongakkan kepalanya perlahan-lahan sambil memeluk erat bantal peluknya.  Kelihatan seekor kucing hitam yang bermata merah dan menyeringaikan taringnya sedang mencakar-cakar kepala Seriayu maka Seriayu terus mengerekotkan badannya sambil menangis perlahan-lahan sehinggalah ia terlelap.  Ia seorang gadis kecil yang terlalu takutkan kucing dan bila diceritakan pada ibu dan ayahnya, mereka cuma mengatakan yang ia cuma mimpi kerana di rumah itu tiada ruang atau lubang yang membolehkan kucing masuk.  Bila malam hari, Seriayu akan gelisah dan takut kerana peristiwa seram itu berlaku setiap malam walau dihujung kepala dan kakinya diletakkan bantal.  Semakin hari Seriayu semakin pendiam dan suka menyendiri dan tidak lagi bercerita kepada ibu dan ayahnya.  Ia membesar dalam keadaan di selubungi kejadian-kejadian aneh, ia dapat melihat makhluk yang aneh dan mendengar suara-suara yang menangis, merintih, marah dan mengilai.

     Ibunya mengandung dan mula muntah-muntah, cepat sayu, cepat marah dan Seriayu ditinggal sendirian dirumah bila ayahnya membawa ibu untuk memeriksa kandungan di Klinik kerajaan di Raub yang terletak jauh ke bandar dengan menaiki motosikal.  Kakak dan abangnya bersekolah yang mengambil masa hampir sejam dengan berjalan kaki untuk pulang kerumah.  Dirumah Seriayu dapat mendengar bunyi-bunyi aneh tetapi ia tidak menghiraukannya, ia bermain-main di beranda rumah sambil menunggu kepulangan adik-beradiknya.

     Ayah Seriayu berjumpa dengan seorang ustaz dan menceritakan hal aneh yang dialami oleh anaknya Seriayu.  Ustaz tersebut memberitahu yang kucing hitam tersebut adalah jelmaan pelesit yang mengganggu kanak-kanak.  Ilmu pelesit di amal oleh wanita yang mahu menggongkong suami agar patuh dan setia dan tidak akan bermain cinta dengan wanita lain.  Ilmu ini juga dipanggil Ilmu Asam Garam kerana wanita yang mengamalkan ilmu ini tidak akan mengambil garam dengan tangannya.  Ustaz menyarankan ayah Seriayu agar memanggar rumah dengan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibuatnya.  Selepas pada itu, tiada lagi kucing hitam yang mencakar Seriayu dan tiada lagi bunyi-bunyi aneh.

     Kejadian ini benar-benar berlaku dan adakah Kucing Hitam itu jelamaan PELESIT, Wallahuallam....

TAMAT.

nukilan oleh,
masryarnida.
    Lakaran penulis
Pelesit

No comments:

Post a Comment