Pages

Search This Blog

Friday, November 29, 2013

Hantu Pokok Pisang


     Selepas setahun berlalu dan ayah Seriayu telah membina sebuah rumah sendiri dibelakang rumah ibu mertuanya, hasil wang pampasan tenteranya.  Ayah Seriayu seorang yang rajin menternak ayam, kambing maupun bercucuk tanam.  Banyak pokok-pokok buah-buahan serta sayur-sayuran ditanam di sekeliling rumah memandangkan ibu mertuanya mempunyai tanah yang cukup luas.

     Dipenjuru dapur dan bersebelahan bilik air, ayah Seriayu telah menanam pokok pisang Awak dan pokok pisang Berangan memandangkan kawasan tersebut redup dan sejuk.  Segar dan bugar pokok-pokok pisang tersebut dan bercambah dengan cepat sehinggakan ia membentuk satu bulatan yang kosong ditengahnya.  Seiayu adik beradik selalu menyorok di dalam kawasan tersebut jika bermain sorok-sorok dan selalu dimarahi ayah kerana dikuatiri pokok pisangnya rosak.

     Kakak Seriayu yang kedua telah mula bekerja di Alor Setar dan ia berulang-ulik ketempat kerjanya.  Seawal pukul 6 pagi, ia berjalan meredah kegelapan malam sambil membawa lampu suluh menyusuri rumah-rumah jiran untuk menunggu bas di sebatang jalan besar.  Pada suatu hari, selepas pulang dari kerja ia menceritakan pengalaman seram kepada ibunya.  Sewaktu ia berjalan, kedengaran loceng kaki yang dipakai wanita bangsa India mengekorinya dari belakang.  Bila ia menoleh, tiada apa-apa disitu dan bila ia berjalan semula loceng tersebut akan jelas kedengaran disertai dengan bau-bauan bunga yang harum mewanggi.  Ia mempercepatkan langkahnya untuk sampai ditepi jalan besar yang diterangi lampu jalan.  Ibu Seriayu berjanji pada anaknya yang ia akan menemannya pada keesokan hari.  Kegirangan kakak Seriayu dan selesai sudah rasa takut dan runsingnya.

     Pada keesokan harinya, ibu Seriayu bersedia untuk menemani kakak Seriayu ketempat menunggu bas.  Dikejutkan Seriayu serta dua adiknya untuk bangun dan bersiap-siap untuk kesekolah.  Seriayu belajar didalam Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Bedong dan dua adiknya belajar di Sekolah Rendah Semeling.  Seriayu melangkah kebilik air sambil menyanyi-nyanyi perlahan-lahan untuk menghilangkan rasa mengantuknya.  Bilik air rumah Seriayu mempunyai ruang kosong diantara dinding dan bumbung.  Disebabkan ruang kosong itu sehasta lebarnya dan memanjang selebar luas bilik air maka jelas kelihatan pokok-pokok pisang disebelahnya.  Pada pagi itu, Seriayu terasa gemuruh dan tak sedap hati tetapi dilawannya perasaan kerana mungkin perasaan ini timbul kerana ibunya tiada dirumah.  Ia menolak pintu bilik air perlahan-lahan dan matanya terpaku pada atas sebatang pokok pisang yang paling besar.  Apakah makluk yang sedang bersila kemas di atas pokok tersebut.  Memandangkan Seriayu seorang yang berani dan tidak akan menegur benda-benda pelik yang dilihatnya maka ia menajamkan penglihatannya dan cuba untuk melihatnya dengan lebih jelas.  Pada ketika itulah, makhluk yang duduk membelakangkan Seriayu telah menoleh kepadanya perlahan-lahan sambil mengeluarkan suara yang sukar untuk dijelaskan.  Seriayu menampar daun pintu bilik air dan ia terus berlari meluru pada adik-adiknya.  Dalam beberapa minit selepas itu dan bila perasaannya stabil, ia mengajak adik-adiknya untuk melihat makhluk tersebut.  "Nak tengok hantu tak?" kata Seriayu pada adik-adiknya berulang kali sambil ditarik tangan adik-adiknya ke bilik air.  Adik-adiknya meraung-raung ketakutan sambil meronta-ronta sehinggakan ibunya lari terkejar-kejar pulang kerumah bila kedengaran riuh rendah dari jauh.  Seriayu menceritakan kejadian tadi dimana ia ternampak satu makhluk rambut panjang melepasi bahu, kurus tak berbaju, berkulit hijau gelap dan bertaring sedang duduk bersila diatas pokok pisang sebelah bilik air.  Ibunya mengucap panjang dan mengejutkan abang Seriayu dari tidur.  Abang Seriayu keluar dan mencari-cari kesan tapak kaki kerana difikirkan ada orang yang mengintai adiknya mandi, tetapi hampa.  Ibu dan ayah Seriayu mengambil keputusan untuk menebang semua pokok pisang berdekatan rumah untuk mengelak dari menjadi tempat perkampungan makhluk tersebut.  Wallahuallam......

TAMAT.

Nukilan dari,
masryarnida.
                                                      lakaran penulis
                       Hantu Pokok Pisang

Thursday, November 28, 2013

Penunggu Lubuk Tupah

     Lubuk Tupah ini terletak di daerah Merbok, Kedah.  Lata air terjun yang cukup indah dan nyaman ini terletak di kaki Gunung Jerai.  Setiap hujung minggu iaitu hari jumaat kerana negeri Kedah cuti pada hari tersebut, ramai penggunjung yang berkelah bersama keluarga ataupun rakan-rakan.

     Seriayu berpindah dari Felda Sungai Koyan dan telah pulang menetap bersama nenek serta bapa-bapa saudara sebelah ibunya yang masih belum berumahtangga.  Ia menjadi periang semula kerana bapa saudaranya yang di panggilnya Pak Chak begitu mengambil berat akan dirinya dan sering bermain-main dengannya.  Sikap menyendiri dan pendiamnya semakin kurang malah ia boleh diajak mencuci kereta ataupun menjaga burung-burung merpati peliharaan bapa saudaranya.

     Suatu hari di pagi hari Jumaat, bapa saudaranya (Pak Chak) meminta izin pada ibu Seriayu untuk membawanya serta kakak-kakak dan abang-abangnya berkelah di Lubuk Tupah.  Ibu Seriayu agak keberatan tetapi memandangkan ia permintaan adiknya maka dilepaskan pergi.  Kedengaran sorakkan dari Seriayu serta adik-beradiknya kerana kegirangan.

     Air terjun Tupah laju dan berpusar di lubuknya.  Bapa saudara Seriayu begitu suka melihat anak-anak saudaranya menjerit-jerit kesukaan dan kegirangan.  Mereka mandi manda dan terjun dilubuk itu tetapi memandangkan airnya deras maka mereka akan dibawa ke air yang cetek.  Seriayu yang masih kecil berumur dalam lingkungan 7 tahun hanya bermain-main air di kawasan yang cetek sambil memerhati saudara-saudaranya.  Didalam hatinya, ia cukup teringin untuk terjun bersama saudaranya tetapi tidak diizinkan bapa saudaranya kerana ibu telah berpesan agar Seriayu tidak dibenarkan berenang kerana andaian orang-orang tua jika bayi itu tertanggal pusatnya didalam air maka ia akan mati didalam air dan semasa bayi, pusat Seriayu jatuh ke dalam baldi mandinya.

     Waktu hampir pukul 12 tengahari, semua keletihan dan bersidai diatas batu-batu hampar yang panas sambil memakan nasi dan ketika itulah Seriayu telah terjun kedalam lubuk tersebut.  Kedengaran bunyi seperti benda dilemparkan ke air maka bapa saudara Seriayu memalingkan mukanya dan ketika itulah dilihat dua tangan terkapai-kapai seolah-olah disedut kedasar lubuk.  Sepantas kilat bapa saudara Seriayu terjun kedalam lubuk tersebut dan membawa keluar Seriayu sambil dimulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.  Terus dibawa semua anak saudaranya pulang dan Seriayu cuma memberitahu ada nenek yang memanggilnya.  Dirumah, Seriayu diberi minum air Yassin dan bapa saudaranya menceritakan kejadian yang berlaku sambil dia merasa pedih dibahagian belakangnya.  Ayah Seriayu terkejut bila belakang adik iparnya terdapat kesan cakaran yang cukup panjang dan dalam.  Ketika itulah bapa saudaranya berkata yang ia tidak akan membawa Seriayu ke situ lagi.

     Selang beberapa tahun, kejadian tersebut telah dilupakan dan bapa saudara Seriayu yang telah berumahtangga dan mempunyai seorang anak.  Ketika itu umur Seriayu 14 tahun, isteri bapa saudaranya beria-ia nak berkelah di Lubuk tersebut, maka Seriayu sekeluarga serta bapa saudaranya 'Pak Teh' yang baru berpindah ke kampung selepas pencen tentera turut serta dalam rancangan tersebut.  Banyak makanan dibawa dan isteri Pak Chak telah membawa daging mentah untuk di bakar di tempat berkelah serta limau nipis untuk di picitkan kedalam air asam tanpa pengetahuan ibu Seriayu yang menjaga adab dan pantang larang jika masuk ke dalam hutan.  Sampai sahaja ke lubuk tersebut, seorang anak lelaki Pak Teh terus terjun kedalam air diikuti isteri Pak Teh dan kedua-duanya terkapai-kapai, dan Pak Teh terjun untuk menyelamatkan isterinya.  Nasib baik ada anak saudara ayah Seriayu yang cekap berenang telah menyelamatkan anak Pak Teh.

     Kejadian tersebut cukup mengejutkan, tetapi bila semua kembali tenang maka tikar dibentangkan dan buaian untuk anak kakak Seriayu diikat pada sebatang pokok.  Semua kembali ceria dan anak-anak bermandi manda tetapi orang-orang tua hanya memerhati sambil berbual-bual serta menjamu selera.  Tiba-tiba ibu Seriayu melihat anak saudaranya yang perempuan berumur 14 tahun iaitu sebaya dengan Seriayu sedang mengelupur didalam air yang dalamnya cuma setakat betis sahaja.  Cepat-cepat diangkat kepalanya oleh ibu Seriayu dan ia cuma menangis sambil menuduh ada orang menekan kepalanya ke dalam air.  Dalam waktu kekecohan itu, semua tergamam dan terkaku bila melihat seekor ular hitam sebesar betis menyusur dibawah buaian anak saudara Seriayu yang sedang nyenyak tidur.  Bila ular tersebut beredar, semua mengemas barang lalu dimasukkan kedalam kereta dan terus pulang.

     Pada malam tersebut, dalam lingkungan pukul 3 pagi, ibu Seriayu terkejut bila mendengar suara yang bertukar-tukar.  Sekejap ia ketawa dan sekejap ia menangis tetapi suara itu cukup jelas.  Ibu Seriayu menggerakkan ayah Seriayu lalu dibukakan lampu tetapi alangkan terkejutnya mereka bila suara orang tua yang yang mereka dengar itu datangnya dari Seriayu yang bermata merah menyala sambil ia sedang menyarungkan stokin bola abangnya.  Di mulutnya tak habis-habis mengungkapkan "Aku sejuk" dan suara yang keluar semakin lama semakin garau lalu ibu Seriayu pun berkata dalam nada marah "Engkau rupanya, pergi balik!  Kalau tak aku paksa cara kasar!"  Secepat kilat, ayah Seriayu membawa anaknya kedepan pintu masuk rumah sambil ibunya telah mengambil beras yang telah dicampurkan kunyit dan lada hitam lalu dihempaskan ke seluruh tubuh Seriayu sambil berkata "Pergi kau dari sini, pulang semula ketempat asal kau".  Tiba-tiba Seriayu tidak sedarkan diri dalam beberapa minit dan bila ia sedar ia keletihan dan mengadu yang badannya sakit-sakit.

     Pada keesokannya, ibu Seriayu bercerita pada adik serta iparnya, semasa ia tidur pada malam itu, ada seorang wanita tua bongkok yang keluar dari air kumbahan belakang rumah, marah-marah kerana mereka telah mengotorkan rumahnya.  Sedang ia bermimpi itulah ia terjaga bila mendengar tangisan dan hilaian Seriayu.  Waktu itu isteri Pak Chak mengaku yang ia telah melanggar pantang-larang kerana baginya perkara itu karut dan ia meminta maaf atas kesilapannya.  Tiba-tiba Pak Teh dan isterinya datang termengah-mengah sambil memberitahu yang gelang emasnya telah jatuh di tempat perkelahan semalam.  Maka mereka berenam serta anak saudara ayah Seriayu yang cekap berenang telah ketempat itu semula.  Memandangkan ia awal pagi maka masih belum ada pengunjung yang datang.  Sewaktu anak saudara ayah Seriayu menyelam-nyelam kedasar kolam dan ibu Seriayu serta yang lainnya mencari-cari di celah-celah batu, mereka seolah-olah terlihat kelibat orang tua melintas.  Semua mendongak serentak dan ketika itulah kelihatan ular hitam sebesar betis sedang melingkar di sebalik sebatang pokok.  Ular yang kelihatan adalah ular yang sama dan ibu Seriayu mengajak adik-adiknya pulang dan dirumah ia memberitahu pada mereka, jika barang kemas hilang di tempat-tempat perkelahan atau hutan dan sewaktu mencari barang tersebut , muncul kelibat ular hitam, eloklah dibatalkan sahaja hasrat untuk mencari kerana ianya sia-sia.  Barang kemas itu telah diambil dan disimpan oleh Penunggu ditempat tersebut.

     Itulah kali terakhir Seriayu ketempat Lubuk Tupah tersebut dan akhirnya terbuka cerita yang ayah kepada ibu Seriayu meninggal dunia secara tiba-tiba selepas pulang dari Lubuk Tupah tersebut.  Adakah ia kebetulan... Wallahualam..........

TAMAT.

Nukilan dari,
masryarnida
Lakaran penulis
       Penunggu Lubuk Tupah

Tuesday, November 26, 2013

Pelesit

     Peristiwa seram ini berlaku pada tahun 1975 di sebuah kawasan felda yang baru diterokai dan terpencil.  Seriayu, gadis kecil ini telah berpindah dari sebuah kem tentera dan tinggal bersama keluarganya di penempatan baru yang disediakan khas untuk bekas-bekas tentera.  Seriayu masih dengan sikapnya yang suka menyendiri dan memendam perasaannya.

     Sewaktu tiba di lokasi tersebut yang terletak di Sungai Koyan, Raub, Pahang, rumah itu didiami oleh tebuan yang membuat sarang, betul-betul di bawah alang tiang seri.  Ibu dan ayah Seriayu memunggah barang-barang dari trak askar dan diletakkan dipenjuru rumah dengan hati-hati dikuatiri tebuan-tebuan akan naik berang jika sedar yang mereka diancam.  Pada malam tersebut Seriayu sekeluarga tidur bersama-sama dalam satu bilik dan ditutup lubang-lubang angin kerana hari telah larut malam.  Pada keesokannya ramai rakan-rakan ayah Seriayu yang juga bekas-bekas askar membuat unggun api dan tolong menghapus dan menghalau tebuan-tebuan itu dari rumah tersebut.

     Ibu dan ayah Seriayu mula mengemas rumah dan menyusun atur perabot.  Rumah Felda Sungai Koyan 3 hanya mempunyai satu bilik tidur yang besar maka mereka sekeluarga tidur bersama dengan dipisahkan oleh tiga kelambu iaitu ibu dan ayah Seriayu serta adik-adiknya, abang-abangnya dan Seriayu bersama dengan kakak keduanya memandangkan kakak sulung pulang kekampung nenek mereka di Kedah.

     Setiap malam, kawasan felda yang terletak di dalam hutan belantara itu sunyi sepi dan hanya kedengaran sayup-sayup suara ungka serta lolongan anjing-anjing liar bersahut-sahutan.  Tiada kejadian ganjil berlaku sehinggalah genap seminggu mereka menetap disitu.  Seriayu mula mendengar suara-suara yang menyeramkan dan dengusan-dengusan di dapur rumahnya.  Adik Seriayu yang baru masuk lima bulan itu mula merengek-rengek dan semakin lama semakin kuat tangisannya sehinggalah kelam kabut ibu dan ayah Seriayu dibuatnya.  Adik Seriayu mula susut tubuh badannya dan sering menangis tanpa sebab, akhirnya ayah meminta air penawar pada seorang ustaz disitu.  Alhamdulillah, ianya mujarab dan adik Seriayu tidak lagi menangis malam.

     Rumah Seriayu terletak di hujung jalan Sungai Koyan 3 dan disebelahnya jelas kelihatan pokok-pokok sawit sayup mata memandang.  Setiap malam rumah mereka akan kedengaran suara kijang, babi hutan dan bebagai-bagai haiwan yang ayah Seriayu sendiri pun tak pasti bila disoal anak-anaknya.  Suara-suara haiwan ini hanya kedengaran bila sudah larut malam.

     Genap satu bulan mereka sekeluarga tinggal disitu, pada malam bulan mengambang yang jatuh pada hari Khamis malam Jumaat bermulalah gangguan yang menimpa Seriayu, gadis kecil pendiam yang waktu itu umurnya 5 tahun.  Pada malam itu, sekitar pukul 3 pagi kedengaran tapak kaki berlegar-legar diruang tamu rumah tersebut.  Seriayu yang terjaga hanya memasang telinga sambil memeluk erat bantal.  Ia hanya kaku membisu dan cuba untuk melelapkan mata tetapi sukar.  Tiba-tiba kedengaran lolongan anjing hutan bersebelahan dengan bilik dan serentak dengan itu juga, Seriayu dapat merasa yang kepalanya seperti dicakar-cakar perlahan-lahan.  Walaupun didalam kelambu, hujung kakinya mengadap kedinding dan kepalanya terletak ditengah bilik dan kakaknya tidak sedar walaupun dikejut Seriayu berkali-kali.  Lampu gasolin yang masih menyala suram diruang tamu menerang kekawasan bilik dengan cahaya yang agak suram.  Seriayu mendongakkan kepalanya perlahan-lahan sambil memeluk erat bantal peluknya.  Kelihatan seekor kucing hitam yang bermata merah dan menyeringaikan taringnya sedang mencakar-cakar kepala Seriayu maka Seriayu terus mengerekotkan badannya sambil menangis perlahan-lahan sehinggalah ia terlelap.  Ia seorang gadis kecil yang terlalu takutkan kucing dan bila diceritakan pada ibu dan ayahnya, mereka cuma mengatakan yang ia cuma mimpi kerana di rumah itu tiada ruang atau lubang yang membolehkan kucing masuk.  Bila malam hari, Seriayu akan gelisah dan takut kerana peristiwa seram itu berlaku setiap malam walau dihujung kepala dan kakinya diletakkan bantal.  Semakin hari Seriayu semakin pendiam dan suka menyendiri dan tidak lagi bercerita kepada ibu dan ayahnya.  Ia membesar dalam keadaan di selubungi kejadian-kejadian aneh, ia dapat melihat makhluk yang aneh dan mendengar suara-suara yang menangis, merintih, marah dan mengilai.

     Ibunya mengandung dan mula muntah-muntah, cepat sayu, cepat marah dan Seriayu ditinggal sendirian dirumah bila ayahnya membawa ibu untuk memeriksa kandungan di Klinik kerajaan di Raub yang terletak jauh ke bandar dengan menaiki motosikal.  Kakak dan abangnya bersekolah yang mengambil masa hampir sejam dengan berjalan kaki untuk pulang kerumah.  Dirumah Seriayu dapat mendengar bunyi-bunyi aneh tetapi ia tidak menghiraukannya, ia bermain-main di beranda rumah sambil menunggu kepulangan adik-beradiknya.

     Ayah Seriayu berjumpa dengan seorang ustaz dan menceritakan hal aneh yang dialami oleh anaknya Seriayu.  Ustaz tersebut memberitahu yang kucing hitam tersebut adalah jelmaan pelesit yang mengganggu kanak-kanak.  Ilmu pelesit di amal oleh wanita yang mahu menggongkong suami agar patuh dan setia dan tidak akan bermain cinta dengan wanita lain.  Ilmu ini juga dipanggil Ilmu Asam Garam kerana wanita yang mengamalkan ilmu ini tidak akan mengambil garam dengan tangannya.  Ustaz menyarankan ayah Seriayu agar memanggar rumah dengan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibuatnya.  Selepas pada itu, tiada lagi kucing hitam yang mencakar Seriayu dan tiada lagi bunyi-bunyi aneh.

     Kejadian ini benar-benar berlaku dan adakah Kucing Hitam itu jelamaan PELESIT, Wallahuallam....

TAMAT.

nukilan oleh,
masryarnida.
    Lakaran penulis
Pelesit

Monday, November 25, 2013

Hantu Kepala Anjing

     Kejadian seram ini dialami oleh seorang budak perempuan yang ketika itu umurnya baru mencecah empat tahun.  Berlaku disebuah kem tentera dipenghujung tahun 1974.

     Kem Terendak, Melaka ialah kem dikalangan kem-kem terawal di Malaysia.  Kem yang ketika itu didiami oleh Rejimen Askar Melayu Diraja.  Malaysia masih belum aman maka banyaklah anggota-anggota tentera masuk hutan dan meninggalkan anak dan isteri demi tugas.  Termasuklah ayah kepada budak perempuan ini yang saya namakan SERIAYU.

     Seriayu seorang budak perempuan yang suka menyendiri.  Suka ketempat yang sunyi sambil bermain dengan patungnya atau membelek-belek buku cerita disudut rumahnya.  Ia cukup takut dengan kucing jadi tak hairanlah kalau dia suka berkurung dirumah.  Ibunya sibuk dengan adik-adiknya yang masih kecil seramai tiga orang serta abang-abangnya dan kakak-kakaknya.  Ia anak kelima diantara tujuh adik-beradiknya.

     Pada bulan September 1974, kedengaran desas desus dikalangan isteri-isteri tentera bahawa pada malam bulan penuh akan kedengaran lolongan anjing yang cukup sayu dan menyeramkan tepat pada pukul 12.00 tengah malam.  Anggota tentera yang berkawal pernah terserempak dengan kelibat atau bayangan orang yang berkepala anjing.  Maka banyaklah isteri-isteri yang dihantar suami balik ke kampung halaman sementara menunggu ia reda.  Isteri-isteri yang suami masih dihutan terpaksa bergilir-gilir tidur dirumah sebelah mengikut giliran sambil masing-masing berjaga malam sambil mengaji termasuklah ibu kepada Seriayu.

     Pada hari itu abang kedua Seriayu membeli kad mainan yang ditikamnya.  Kad-kad kecil yang dibelakangnya seperti daun terup tetapi gambar didepan adalah gambar-gambar robot disimpannya dibawah katil dengan cermat sambil diperhatikan Seriayu dari jauh.  Ia tahu yang abangnya itu tidak akan membenarkan Seriayu melihatnya apatah lagi memegangnya kerana ia terlalu sayangkan kad itu, takut Seriayu melipat atau mengeronyok.

     Malam itu adalah malam giliran ibu Seriayu tidur dirumah jirannya, maka ibu Seriayu telah memandikan anak-anaknya serta diberi makan malam lebih awal.  Lebih kurang pukul 9.00 malam selepas sembahyang Isya' ibu Seriayu membawa anak-anaknya kerumah jiran sebelah tanpa ia sedari yang Seriayu tidak turut serta dan ia telah menggunci Seriayu didalam sendirian.  Ibu Seriayu berbual-bual dengan kawan karibnya dan ia masih belum perasan akan ketiadaan Seriayu memandangkan ia suka menyendiri.  Tepat pukul 12.00 tengah malam lolongan anjing mula kedengaran dan semakin lama lolongan itu semakin dekat dan kedengaran dinding-dinding rumah dicakar perlahan-lahan.  Ibu Seriayu mula cemas dan menangis perlahan-lahan bila ia menyedari yang anaknya kurang seorang iaitu Seriayu.  Kak Lijah jiran ibu memujuk ibu yang ia akan meneman ibu pulang kerumah mencari Seriayu bila lolongan anjing itu berhenti.

     Dirumah Seriayu leka bermain dengan kad-kad didalam bilik abangnya tanpa menyalakan lampu kerana bulan terang dan takut yang abangnya akan marah jika ia tahu.  Lolongan anjing kedengaran sangat dekat memandangkan bilik abangnya terletak dibelakang sekali.  Bilik itu tidak berlangsir dan dengan bantuan cahaya bulan yang terang Seriayu dapat melihat dengan jelas makluk disebalik tingkap.  Makhluk itu berbadan manusia tanpa baju dan dipenuhi bulu-bulu yang jarang -jarang tetapi kepalanya, kepala anjing dengan mata yang merah menyala seperti bebola api.  Nasib baik Seriayu bermain dengan kad dibawah katil dua tingkat milik abang-abangnya dan tingkap cermin nako itu terbuka sedikit maka dapat ia melihat dengan jelas disebalik tepi katil.  Kuku-kuku makluk itu sangat panjang dan ia melibas keudara dan mencakar-cakar dinding dibilik tersebut tetapi Seriayu diam terkaku tanpa mengeluarkan suara mahupun bergerak sehinggalah makhluk itu melolong buat kali terakhir lalu pergi.  

     Kedengaran namanya dilaung ibunya dengan suara yang cemas bercampur sedih lalu Seriayu keluar dari bawah katil terus memeluk ibunya sambil menangis.  Ia menceritakan kejadian yang dialaminya lalu selepas malam itu ibu Seriayu memasang langsir tebal dibilik abangnya dan mereka sekeluarga tidur dirumah sendiri didalam satu bilik sehinggalah ayah Seriayu balik dari bertugas.  Bilik belakang di pakukan papan lapis oleh ayah Seriayu dan heboh orang bercerita yang makluk itu adalah orang yang salah menuntut ilmu kebal dan ia telah melanggar pantang-larang maka ia berubah pada setiap malam bulan mengambang.

     Kejadian ini benar dan kenapa makhluk itu timbul dan muncul waallahuallam.

TAMAT..

yang benar..
Masryarnida
                      Lakaran penulis
                       Hantu Berkepala Anjing