Pages

Search This Blog

Tuesday, January 7, 2014

Syaitan


     Saya tak dapat menulis dan menceritakan pengalaman Seriayu kerana bila dia kurang sihat, ia  tidak mahu diganggu untuk beberapa hari.  Saya sendiri merasa hairan dengan kesihatannya yang sering sakit.  Saya sarankan agar ia membuat pemeriksaan doktor tetapi saya sendiri terkejut bila ia pernah dimasukkan ke wad di Hospital Assunta tetapi hasil pemeriksaan mengatakan yang ia sihat.

     Akhirnya Seriayu dan suaminya di jemput ke tanah suci pada bulan Januari 2013 yang lalu untuk mengerjakan umrah.  Dua bulan sebelum mengerjakan umrah, Seriayu di rasuk beberapa kali memandangkan ia berkobar-kobar dan bersungguh-sungguh untuk mendapat umrah yang diterima oleh Allah.  Dugaan itu di terima dan diharungi dengan tabah oleh mereka suami isteri.  Sewaktu Seriayu di rasuk itulah, makhluk halus itu memberitahu bahawa ia akan terus menganggu jika suami Seriayu tidak berhenti dari membaca Al-Quran.  Bila di perdengarkan ayat-ayat Ruqyah dan di baling garam dan lada hitam, terus makluk itu memberitahu orang yang menghantarnya dan ia akan berhenti mengganggu dengan syarat suami Seriayu menceraikan Seriayu.  Bila nama si polan itu disebut, suami Seriayu cukup terkejut dan hampa kerana insan itu bukan orang jauh.  Mereka bertekad untuk menyimpan rahsia dan terus berjuang jika itu adalah ketentuan yang maha esa.

     Pagi itu, selepas melakukan solat musafir, sepasang suami isteri ini melangkah dengan seribu macam perasaan.  Gembira kerana dapat menjejak kaki ke bumi Mekah dan Madinah, sedih kerana meninggalkan anak-anak, gentar kerana takut dengan dosa-dosa lampau dan akhirnya berserah dan redha kerana lebih baik di balas ketika masih hidup daripada diseksa di akhirat kelak.

     Bila jejak saja kaki di Jeddah, kedua-duanya tidak lagi memikirkan soal anak-anak tetapi di fikiran dan dihati cuma di penuhi dengan zikrullah.  Pada ketika itu mereka bertolak memasuki Madinah menaiki bas.  Di dalam bas kaki Seriayu yang disebelah kiri sakit berdenyut-denyut dan lenguh yang amat sangat seperti ada sesuatu yang melekat di kakinya.  Ketika itu jam menunjukkan tengah malam dan semua penumpang melelapkan mata termasuk suaminya.  Seriayu berzikir dan berselawat sambil matanya melihat suasana di sepanjang perjalanan dari Jeddah ke Madinah.  Bumi yang dipenuhi dengan padang pasir dan kelihatan khemah-khemah yang di terangi lampu dan kapet-kapet yang dibentangi tanpa bumbung dan kelihatan seperti restoran dibawah cahaya bulan, cukup mendamaikan.  Banggunannya pula berkotak-kotak tanpa tingkap dan cukup ringkas tetapi bila difikirkan balik dengan kesakitan dikakinya ia dapat melihat bumi para ambia itu.

     Bila menghampiri Kota Madinah dan jam menunjukkan sekitar pukul 3 pagi, ini menunjukkan perjalanan itu mengambil masa kira-kira 5 ke 6 jam.  Suami Seriayu mula runsing bila melihat isterinya pucat menahan kesakitan di kakinya.  Perlahan-lahan ia mengurut-urut sambil memujuk dan memberi kata-kata semangat.  Bas berhenti dihadapan Hotel Mubarak Silver dimana tempat mereka akan menginap di Kota Madinah.  Suatu keajaiban telah berlaku bila Seriayu menjejakkan kakinya ketika turun dari bas.  Sentuh sahaja tapak kakinya di tanah Madinah, sakitnya hilang serta merta.  Dia menjadi seorang yang cukup sihat, langkahnya pantas dan mukanya bertukar berseri-seri.  Suami Seriayu bersyukur dengan belas ihsan yang tuhan berikan kepada mereka berdua dan selama 4 hari di sana mereka berulang-alik ke Masjid Nabawi serta dapat bersembahyang di Raudhah membuatkan Seriayu menangis ketika ia melakukan ziarah Wada pada pagi yang mereka akan memasuki Mekah untuk melakukan umrah Wajib  " Insyaallah, kita akan datang lagi." pujuk suami Seriayu bila isterinya menangis tersedu-sedu.  Suaminya sedar bahawa isterinya tentulah berat hati untuk meninggalkan Madinah bila ia dapat beribadah dengan sempurna dengan kesihatannya yang baik dan ia tak perlu berpantang ketika makan kerana makanlah apa sahaja dan tiada kemudaratan pada sistem badannya.

     Sewaktu memasuki Kota Mekah, keadaan Seriayu masih sama dengan wajah yang berseri-seri ia dapat melakukan tawaf serta saie tanpa masaalah.  Mereka berdua cukup bersemangat, seawal pukul 3 pagi kedua-duanya melangkah sambil sesekali diiringi dengan gelak ketawa dan mereka dapat melakukan umrah sebanyak 4 kali sepanjang berada di Mekah.  Seriayu cukup lincah dan bersemangat dan suaminya cukup bersyukur kehadrat ilahi.

     Sampai masanya untuk pulang ke tanah air, bila melakukan tawaf Wada, kedua-duanya menangis dan hati cukup berat untuk melangkah meninggalkan Kaabah.  Ketika dalam perjalanan ke Jeddah, didalam bas, Seriayu melihat pemandangan Kota Mekah dan matanya meneliti setiap pelosok padang pasir dan sehinggalah tiba di sempadan Tanah Haram dan mata Seriayu terkaku bila terpandang sesuatu.  Betul-betul dibawah papan tanda yang menunjukan sempadan Tanah Haram terdapat sekujur makhluk yang berwarna hitam sedang mengadap ke Kota Mekah.  Seriayu memfokus penglihatannya dan mendapati seekor anjing hitam yang cukup besar menyerupai seperti seekor anjing di dalam cerita Harry Portter dan Seriayu tidak mengalihkan penglihatannya sehinggalah ia hilang dari pandangan.  Mulutnya seperti terkunci dan ia kaku kerana tidak pula menunjukkan pada suaminya, padahal suami hanya duduk disebelahnya dan tidak tidur.

     Seriayu masih tidak terfikir apa-apa sehinggalah ia menonton tv di Malaysia iaitu rancangan "Bersama Don Daniyal" yang menceritakan tentang Kota Mekah.  Bila Ustaz tersebut menyatakan yang Dajal dan Syaitan berkhemah di luar Kota Mekah dan ketika itulah Seriayu berfikir mungkin tuhan telah menunjukkan pada Seriayu akan Syaitan yang selalu mengganggunya.  Wallahuallam...


Tamat

masryarnida
     

No comments:

Post a Comment