Pages

Search This Blog

Tuesday, December 31, 2013

Penghuni rumah tinggal

     Kisah ini berlaku sewaktu Seriayu menetap di Bercham, Ipoh, Perak.  Memandangkan suaminya ditugaskan di Ipoh untuk Projek Pembinaan Landasan Keretapi Berkembar maka Seriayu berpindah kesana untuk memudahkan suaminya daripada berulang-alik ke Kuala Lumpur walaupun terpaksa meninggalkan rumah sendiri dan menyewa di Ipoh.

     Mereka berpindah ke Ipoh dalam bulan puasa dan kebanyakan jiran Seriayu berbangsa Cina tetapi mereka baik dan ramah pada Seriayu.  Pada satu hari ketika bangun untuk bersahur, sekitar pukul 4 pagi, Seriayu menjerit ketakutan bila sewaktu membasuh pinggan di sinki dimana terdapat didepannya tingkap Nako yang tidak berlangsir, kelihatan lembaga wanita yang sedang berdiri disebalik cermin sedang memerhatikannya.  Suaminya yang kebetulan tidur di depan tv bersama anak-anaknya terkejut jaga.  Ia bangun dan menuju ke dapur dan dengan bacaan Bismillah ia membuka tingkap tersebut dan tidak ada apa-apa disitu.  Pada esoknya Seriayu menggantung langsir ditingkap tersebut.

     Selang beberapa minggu, anak sulung Seriayu yang berumur 10 tahun kelihatan lesu tak bermaya dan anak perempuannya yang berumur 7 tahun pula suka menyendiri di biliknya. Dua orang adik mereka yang masing-masing  berusia 5 tahun dan 8 bulan tidur bersama Seriayu. Memandangkan mereka sudah bersekolah maka mereka diberi bilik sendiri.  Anak lelaki sulung selalu mengajak adik perempuannya tidur di biliknya memandangkan dibilik yang luas itu terdapat dua katil bujang iaitu katil adik lelakinya yang tidur bersama ibu mereka kerana kesihatannya yang kurang sihat semenjak berumur 6 bulan lagi.

     Seriayu melihat keganjilan pada anak-anaknya tetapi mereka tidak pernah menceritakan apa-apa kepadanya.  Sejak kebelakangan ini mereka berdua sering tidur di depan tv dan menonton sehingga larut malam sehinggalah suatu malam Seriayu mengamuk dan memarahi kedua-duanya.  Serentak keduanya melangkah longlai menuju kebilik si abang dan baring dikatil masing-masing.  Pada esoknya kedua-dua anaknya pucat lesi dan suhu badan keduanya sedikit panas.  Akhirnya Seriayu dan suami mengambil keputusan untuk tidur di hadapan tv bersama anak-anak.  Pada hari raya, mereka sekeluarga balik ke kampung untuk 2 minggu dan rumah mereka dikunci dan disendal dengan kemas tetapi mereka tidak gusar memandangkan jiran mereka adalah berbangsa Cina dan menetap di situ.

     Setelah habis bercuti dan kembali semula ke rumah, Seriayu dan suami terkejut melihat tingkap di dapur ternganga dan bilik tidur mereka bersepah tetapi yang hairannya mereka tidak kehilangan apa-apa barang berharga sedangkan jam berjenama terletak di atas meja di ruang tamu, hamper hari raya serta video game PS 2 di ruang yang sama.  Jiran-jiran mereka pun hairan dan memandangkan rumah itu kepunyaan seorang Inspektor polis yang bertugas di Ipoh maka suami Seriayu menceritakan kejadian yang berlaku kepadanya dan ia membuat kesimpulan yang pencuri itu mengambil masa beberapa hari memandangkan jeriji besi dipotong kesemuanya dengan gergaji kerana permukaan besi yang rata dan licin.  Tetapi yang menjadi persoalannya, kenapa mereka tidak mengambil apa-apa padahal mereka telah bersusah payah.  Pemilik juga hairan bila melihat keadaan dibilik kedua, ada sesuatu yang mengejutkan mereka di bilik itu kerana bilik itu lacinya ternganga dan duit bertaburan di lantai. Apa yang mengejutkan mereka?. Kenapa dibiarkan duit bertaburan?.

     Dua tahun berlalu dan Seriayu berpindah semula ke rumah mereka di Kuala Lumpur.  Anak anak Seriayu ceria sambil menolong ibu mereka mengemas dan membungkus barang-barang kaca.  Cukup girang anak sulung dan anak perempuan tunggalnya.  Rajin dan tidak membantah walaupun tertidur di lantai kerana kepenatan.  

     Suatu hari, setelah beberapa bulan Seriayu menetap di rumahnya semula, anak-anak Seriayu menceritakan sesuatu yang membuatkannya terkejut.  Pada setiap malam, sekitar pukul 3 pagi, mereka berdua akan dikejutkan oleh 3 lembaga dibilik tidur.  Lembaga-lembaga itu membuat isyarat agar mereka berdiam diri dan menghalang pintu agar mereka tidak dapat keluar untuk kebilik Seriayu.  Si abang akan memujuk adiknya yang menangis ketakutan hinggalah mereka tertidur.  Mereka tidak berani menceritakan kepada Seriayu kerana takut dimarahi makhluk-makhluk tersebut.  Mereka menyendal pintu dengan kotak atau kerusi agar pintu bilik terbuka dan memandangkan bilik mereka bertentangan dengan bilik Seriayu maka senanglah untuk mereka melarikan diri tetapi pada waktu kejadian pintu bilik tertutup.  Seingat Seriayu dan suami, mereka tidak pernah menutup pintu bilik anak mereka.  

     Bagaimana rupa lembaga tersebut? Tanya suami Seriayu pada anak-anaknya.  Satu berbadan sasa dengan berbaju besi seperti perisai dan berkepala kerbau, satu lagi seorang perempuan berbaju putih yang berambut panjang dan ia selalu berdiri menghadang pintu dan satu lagi tidak berbaju tetapi berwarna hijau.  "Abang seorang yang nampak, atau adik yang nampak benda tu "? Tanya suami Seriayu pada anak-anaknya.  "Abang dan adik".  Jawab kedua-duanya serentak.  Mereka bersyukur kerana mereka tidur dengan anak-anak selepas kedua-duanya demam tempoh hari.  Tiada kejadian buruk yang terjadi kecuali anak ketiganya yang sering bengkak badannya seperti alahan tetapi sembuh bila berpindah keluar.

     Bila di selidik, rumah tersebut adalah rumah yang penghuninya bunuh diri dengan mengantung diri di bilik kedua kerana suaminya meninggalkannya untuk bersama wanita lain.  Semenjak itu, rumah itu tidak berani diduduki sehinggalah Seriayu menyewanya selama 2 tahun.  Selepas Seriayu berpindah keluar, terus pemilik menetap di situ kerana tidak mahu rumah itu kosong seperti dahulu.

     Semenjak kejadian tersebut, Seriayu sering tidur bersama dengan anak-anak sehinggalah mereka besar dan pandai menghafal ayat-ayat suci Al-Quran.  Anak-anaknya membesar dan mirip dengan kelakuan ibu mereka yang sering melihat makhluk-makhluk ghaib.  Pengalaman mengajar mereka berani menempuh kejadian-kejadian pelik.

     Rumah tidak elok dibiarkan kosong dan tidak berpenghuni lebih dari 40 hari kerana ia mengundang jin dan syaitan untuk menetap di situ.  Seelok-eloknya di samak dan dipagar sebelum diduduki.  Wallahuallam.

Tamat.

Nukilan,
masryarnida. 

No comments:

Post a Comment