Pages

Search This Blog

Thursday, December 12, 2013

Langsuir atau Anjasmoro



  •        Selepas beberapa minggu Seriayu diganggu sewaktu ia balik ke rumah mertuanya, ia menjadi kurang sihat, sering sakit-sakit anggota sendi badan sehingga terpaksa dibawa ke hospital beberapa kali oleh rakan sekerja memandangkan sakitnya datang secara tiba-tiba.  Seriayu semakin kurus dan murung tambahan pula mereka orang muda yang tak percaya dengan benda-benda karut seperti sihir menyihir.  Jika difikirkan secara logik, Seriayu sakit dan dibawa ke hospital dan pihak hospital membuat pemeriksaan yang teliti memandangkan ia di masukkan ke wad selama 3 hari.  Seriayu di X-ray tumit kakinya, di ambil darah, air kencing dan di periksa rahimnya, takut-takut jika terdapat jangkitan kuman memandangkan ia baru melahirkan anak 6 bulan lepas.  Hasil pemeriksaan mendapati Seriayu sihat dan cergas.  Semakin hari sikap Seriayu pada suaminya mula berubah perlahan-lahan.  Bila berbicara, ia cuma memandang dengan ekor matanya.  Bila sesekali suaranya akan meninggi dan suaaminya seorang yang penyabar dan lembut tutur kata dan ini meredakan keadaan.

  •    Mereka mengambil keputusan untuk berubat secara tradisional dan Pusat Rawatan Islam menjadi pilihan.  Pada pagi itu Seriayu menangis dan enggan pergi ke pusat rawatan tetapi dipujuk suaminya dan berkata " Benda ni memang tak nak U berubat" dan dengan perlahan-lahan ia menghembuskan ayat Qursi pada ubun-ubun isterinya.  Lalu cepat-cepat mereka bertolak dan sewaktu di perkarangan pusat rawatan, Seriayu mula menangis semula dan seorang perawat di situ menyarankan agar suaminya membeli air mineral yang terdapat di situ dan membawa masuk Seriayu ke dalam bilik rawatan.  Perawat mula memegang perut Seriayu dengan tangan kirinya dan perut suami Seriayu dengan tangan kanannya serentak dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan menguatkan bacaannya bila Seriayu mula meronta-ronta seperti orang kerasukan.  Secepat kilat, perawat menumpukan bacaan dan dibantu oleh suami Seriayu memandangkan kekuatan Seriayu luar biasa dengan suaranya mula bertukar garau memaki hamun perawat tersebut.  Lama kelamaan Seriayu lemah dan terkulai dalam pelukan suaminya.  Bila air bacaan ayat-ayat suci di renjiskan ke muka dan kepalanya, Seriayu mula sedar dan merintih sakit tangannya, kemungkinan bekas pegangan suaminya yang terlalu kuat.  Perawat tersebut memberitahu, mereka berdua terkena Sihir Pemisah yang bertujuan untuk menceraikan mereka berdua.  Ia menyarankan agar Seriayu dimandikan dengan air bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tadi selepas Asar dan sebelum Maghrib dan air tersebut dibiarkan kering dibadan.

  •      Petang itu, suaminya memandikan Seriayu dan pada maghribnya rumah dipagar dengan air tadi di sekeliling rumah.  Sekitar pukul 12 malam lolongan anjing jelas kedengaran di perkarangan rumah Seriayu.  Suaminya membaca ayat-ayat suci Al-Quran ditambah dengan bacaan ayat-ayat suci yang diperdengarkan secara online.  Semakin lama semakin mendayu-dayu dan di selangi dengan suara seorang perempuan menangis merintih.  Suara tersebut semakin lama semakin jelas dan menghampiri tepi dinding bilik tidur Seriayu memandangkan rumah mereka lot tepi.  Terdengar seakan akan bumbung rumah di tabur pasir dan cakaran-cakaran di tepi dinding.  Keadaan tersebut berterusan sehingga sekitar pukul 3 pagi.  Barulah mereka dapat melelapkan mata.  Pada esok paginya, suami Seriayu mengambil cuti tergempar selama 3 hari lalu mereka pulang ke Kedah, rumah ibu bapa Seriayu.  Suaminya menceritakan perihal tersebut kepada kedua orang mentuanya lalu petang itu adalah hari kedua Seriayu mandi.  Selepas mandi, sewaktu Seriayu cuma berkemban untuk membiarkan air kering dibadannya, seekor lipan selebar pembaris atau 2 jari orang dewasa dan panjangnya hampir se kaki sedang merayap perlahan-lahan di belakang tempat duduk Seriayu.  Bapanya menjerit memanggil nama Seriayu dikuatiri binatang itu menyengat anaknya.  Lipan itu merayap perlahan-lahan seperti telah letih atau tua.  Cepat-cepat suami Seriayu membunuh lipan tersebut dan pada ketika itu juga ia mengalami sakit kepala yang teramat sangat.  Ibu Seriayu memberi menantunya meminum air ubat disamping ubat sakit kepala.

  •      Pada esoknya, sakit Seriayu telah seakan sembuh memandangkan ia memakan masakan ibunya sambil ketawa keriangan.  Bertambah nasi yang dimakannya dan wajahnya berubah ceria tetapi sakit kepala suaminya tak sembuh-sembuh.  Setelah selesai mandian ketiga dan pada hari keempatnya mereka pulang semula ke KL memandangkan keadaan suami Seriayu yang tak berkurangan dan ibu bapa Seriayu menyarankan agar mereka pergi semula ke pusat rawatan tersebut dan menceritakan keadaan yang berlaku dan adakah lipan yang dibunuh itu adalah seekor Jin.

  •      Mereka ditemani oleh adik Seriayu dalam perjalanan pulang.  Ketika itu waktu Maghrib sewaktu mereka tiba di kawasan Changkat Jering.  Seriayu yang kembali sihat seperti sediakala memicit-micit kepala suaminya perlahan-lahan sambil tuala basah yang diikat dikepala suaminya di basahkan lagi dengan renjisan air ubat.  Tiba-tiba Seriayu melihat kelibat seorang perempuan yang berbaju putih sedang terbang seiring kelajuan kereta di tepi tingkap suaminya yang sedang memandu.  Rambutnya mengurai panjang dan menutupi wajahnya dan sesekali jelas kelihatan matanya yang merah menyala dan kulit pipinya yang terkopek.  Seriayu mendiamkan diri dan ia membaca ayat-ayat suci didalam hatinya, kuatir adik dan suaminya menjadi takut.  Mereka tiba di KL sekitar pukul 11 malam dan Seriayu tidak dapat melelapkan mata kerana menjaga suaminya yang keletihan dan kesakitan.

  •      Esoknya, mereka berdua ke tempat rawatan itu semula dan menceritakan kejadian yang mereka alami.  Perawat tersebut memberitahu bahawa lipan itu adalah jelmaan jin, iaitu jin suruhan untuk Sihir Pemisah yang dituju.  Sepatutnya, lipan itu dibuang jauh-jauh dan bukannya dibunuh lalu ia memukul-mukul badan suami Seriayu sambil membaca ayat-ayat Ruqyah.  Sakit kepala yang suami Seriayu hidapi hilang serta merta dan jika tak mengalaminya sendiri tentunya sukar untuk ia mempercayai yang itu adalah sihir.

  •      Lembaga yang terbang di tepi tingkap menjadi persoalan pada Seriayu kerana makhluk itukah yang merintih menangis pada malam yang lalu atau ia adalah Langsuir yang berkeliaran di kawasan-kawasan berbukit dan kenapa ia menganggu masih menjadi tanda tanya.  Adakah kerana waktu itu, waktu Maghrib atau adakah itu rupa sebenar jin suruhan yang di hantar atau pasangannya.  Ataupun, itu bukannya Langsuir yang berkeliaran tetapi itu adalah Anjasmoro iaitu ilmu dan makhluk suruhan orang-orang tertentu. Wallahuallam ......................

  • Ditulis semula.
  • masryarnida.


     




No comments:

Post a Comment