Pages

Search This Blog

Tuesday, December 3, 2013

Pontianak Cina


     Seriayu telah membesar menjadi seorang gadis yang berani mengejar cita-citanya walaupun terpaksa merantau kenegeri orang.  Ketika umurnya genap 20 tahun, ia telah bekerja di sebuah syarikat pembinaan yang memaksanya berpindah ke ibu kota.  Ia bekerja sebagai Stenographer kepada syarikat yang beroperasi di Damansara Jaya, Selangor.

     Pada mulanya, Seriayu menumpang di rumah bapa saudaranya untuk 2 bulan pertama.  Bila ia mendapat kenalan dan sama-sama berkongsi untuk membayar sewa bulanan rumah maka ia keluar dari rumah bapa saudaranya kerana ia tidak mahu menyusahkan bapa saudaranya itu.  Jika menetap di rumah bapa saudaranya di Seksyen 18, Shah Alam, ia terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk menaiki bas pada pukul 6 pagi dan mengelak dari kesesakan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan.  Ia dapat tahu dari rakan sekerja yang mereka sedang mencari penyewa untuk sebuah bilik stor di tingkat bawah sebuah rumah 2 tingkat di SS2, Petaling Jaya.  Seriayu bersetuju untuk menyewanya memandangkan rumah itu berdekatan dengan pejabat dan yang tinggal bersama adalah rakan-rakan sekerja walaupun mereka berbangsa Cina namun mereka berkawan baik.  Mereka tinggal di bilik atas bersama pasangan masing-masing tetapi Seriayu menyewa seorang diri dibilik yang kecil itu.  Seriayu akan berpindah masuk pada hari Jumaat memandangkan ia cuti pada hari Sabtu dan Ahad.

     Dengan bantuan seorang rakan bebangsa cina, Seriayu telah mengambil barang-barangnya selepas pulang dari kerja dan berpindah masuk ke rumah sewanya.  Pada malam itu tiada kejadian ganjil yang berlaku. Pada keesokannya Seriayu menyamak dan menyuci bilik tersebut dan ia membeli beberapa keperluan dapur untuk memasak memandangkan semua rakan-rakannya tidak memasak tetapi makan di luar.  Seriayu dapat berjimat cermat jika ia memasak memandangkan kos hidup di kota amat tinggi.  Pada pukul 8 pagi, Seriayu akan ke pejabat dengan berjalan kaki yang jauhnya sekitar 4 kilometer.  Maka kos pengangkutan dapat dijimatkan, badan pula akan lebih sihat dan cergas.

     Pada suatu hari, selepas pulang dari kerja, ia menyapu-nyapu sampah di dalam rumah sambil mengemop lantai.  Ia membersihkan persekitan dapur dan ruang tamu yang terletak di tingkat bawah.  Setelah selesai ia menonton tv sambil membaca surat khabar.  Sewaktu ia melangkah memasuki biliknya, matanya tertumpu pada sekeping kertas kuning yang hampir lusuh melekat di pintu biliknya.  Kertas tersebut bertulisan cina dan dakwatnya berwarna merah.  Tanpa berfikir panjang, ia mengoyak kertas tersebut lalu dibuang kedalam tong sampah.  Ia tidak bertanya pada rakan rumahnya kerana baginya ia mungkin peninggalan penyewa lama.

     Pada malam tersebut, setelah berbual-bual dengan rakan-rakannya, ia masuk tidur dalam lingkungan pukul 11 malam.  Pada malam itu, bulan penuh maka biliknya yang tidak berlangsir disuluhi dengan cahaya bulan maka ia dapat melihat walaupun suram.  Sedang ia nyenyak tidur, ia tiba-tiba terbangun seperti ada sesuatu yang mengejutnya dan ketika itulah Seriayu melihat benda bulat sebesar bola sepak melompat-lompat ke arahnya, ia terus menyambut benda bulat tersebut yang cuba menggigit lehernya.  Kelihatan sebiji kepala yang rambutnya kasar seperti mop, bermata kecil seperti mata ketam yang berwarna merah dan bertaring serta kulitnya berwarna hitam seperti terbakar cuba untuk menggigit lehernya maka ia memegang benda tersebut dengan kuat dan ia dapat merasa rontaan makhluk tersebut.  Perkataan yang keluar dari mulut Seriayu hanyalah 'Allahhhhh" dan serentak dengan itu makhluk tersebut melompat keluar dari tingkap lalu hilang.

     Pada keesokannya, Seriayu bercerita pada rakan sekerjanya berbangsa cina yang menolongnya memindah barang pada tempoh hari.  Ia tidak menceritakan kejadian itu kepada rakan serumahnya kerana ia tidak mahu mereka takut.  Rakannya memberitahu yang kertas kuning yang dikoyak Seriayu adalah tangkal supaya hantu tidak masuk kebilik tersebut menurut kepercayaan bangsanya.  Ia berpendapat, makhluk yang menganggu Seriayu adalah Pontianak Cina memandangkan ia cuba untuk menghisap darah Seriayu.  Selepas malam tersebut Seriayu tidur dalam keadaan biliknya terang benderang dan Al-Quran yang dibuka terletak di sebelah kepalanya waktu ia tidur.  Sehinggalah rakannya dari kampung yang bekerja bersamanya menyewa bersama Seriayu.

     Itulah pengalaman Seriayu yang paling mengerikan memandangkan ia dapat memegang, melihat dengan dekat dan mendengar degusan-degusan yang keluar dari hantu tersebut.  Adakah makhluk itu Pontianak Cina seperti diberitahu oleh rakannya, wallahhualam...................

TAMAT.

coretan dari,
masryarnida.
                                               
                                          lakaran penulis.
                                            Pontianak Cina


No comments:

Post a Comment