Pages

Search This Blog

Monday, December 30, 2013

Ulat Mayat


     Saya sebagai penulis dan orang yang mendengar kisah-kisah dari mulutnya sendiri, sukar untuk memahami betapa sabarnya insan yang sedang duduk di depan saya ini.  Orangnya tidak sombong dan peramah, tidak suka menyusahkan orang lain dan suka memberi kanak-kanak makan.  Katanya " Budak-budak kalau makan, ia tidak akan mengumpat di belakang, sedap ke, tidak ke, dia akan makan je.  Kita akan lebih ikhlas dan pemberian lebih berkat."

     Ini kisah mengenai sihir yang dituju kepada ibubapa Seriayu.  Seriayu mempunyai seorang adik perempuan yang digilai oleh banyak pemuda walau kemana sahaja ia pergi.  Orangnya lemah lembut dan senang diajak berbual.  Kulitnya kuning langsat dan tubuhnya tinggi lampai.  Dia telah mempunyai buah hati pilihan sendiri dan ibubapa Seriayu hanya mengikut sahaja kerana setiap anak diberi kebebasan untuk mencari pilihan hidup.  Mereka ditunangkan setelah setahun mengenali hati budi masing-masing.

     Seriayu menetap di Ipoh, Perak dan  memudahkan ia untuk  menolong ibubapa untuk menguruskan kenduri kahwin adiknya.  Seriayu pulang dua hari lebih awal dari tarikh majlis persandingan.  Kedua ibubapa Seriayu sering demam bersilih ganti dan sukar untuk melelapkan mata sehinggalah waktu subuh.  Bapa Seriayu mengadu pada anaknya itu akan perihal seperti ada sesuatu yang merayap dalam telinganya dan membuatkan ia resah.  Mereka berdua telah dibawa ke klinik untuk pemeriksaan oleh adik Seriayu tetapi doktor mengatakan yang mereka berdua sihat.  Keadaan ini telah berlaku semenjak 3 bulan lepas dan tubuh keduanya mula kurus kering.  Bila Seriayu menasihati keduanya agar tidak perlu runsing akan majlis kenduri ini dan mereka menidakkannya kerana ini bukan pertama kali mereka menguruskan majlis seperti ini.

     Seriayu mengemas rumah ibubapanya dengan pertolongan suami dan adik-adik.  Almari disusun semula dan ruang tamu di biar lapang dan tempat untuk diletakkan pelamin dibiarkan kosong.  Setelah selesai Seriayu seperti tergerak hati untuk masuk kedalam bilik ibubapanya.  Seriayu tidak akan masuk kedalam bilik itu kecuali disuruh ibunya mengambil sesuatu semenjak dulu lagi.  Suami Seriayu menemani bapa mertuanya membeli barang keperluan dan ibu Seriayu sibuk di dapur bila dilihatnya Seriayu sibuk mengemas rumah.  Kali ini Seriayu masuk tanpa disuruh dan ia berasa tidak sedap hati dan meremang bulu romanya.  Ia bersendirian dan ia dulukan dengan bacaan Bismillah dan di angkat bantal-bantal ibu bapanya untuk digantikan cadar dan sarung bantal yang baru memandangkan tentu ada saudara mara yang akan menggunakan bilik itu untuk solat pada hari kenduri nanti.  Kelihatan dibawah bantal keduanya, terdapat gumpalan sebesar bola golf.  Terletak elok dibawah bantal ibu dan bapa Seriayu seperti batu azimat.  Seriayu mengamati dengan teliti dan ia berfikir kenapa keduanya menggunakan tangkal seperti itu untuk menyembuhkan sakit atau mengubati kesukaran untuk tidur malam.  Seriayu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil dikuisnya gumpalan itu.  Tiba-tiba gumpalan itu pecah dan rupa-rupanya ia adalah ulat-ulat sebesar kacang merah yang melekat diantara satu sama lain dan kedua-duanya pecah serentak.  Lalu Seriayu yang memang geli dan takutkan ulat telah menjerit sekuat hati.  Ulat-ulat itu merayap-rayap dan pada ketika itu adiknya sedang duduk diluar bilik ibu dan bila didengar kakaknya menjerit, ia pun meluru masuk dan ia melihat ulat-ulat sampah yang besar-besar sedang merayap-rayap di katil ibunya lalu dicantumnya cadar ibunya menjadi seperti kantung lalu dibawanya keluar untuk ditunjukkan pada bapanya bila ia pulang.  Selang beberapa minit suami dan ayah Seriayu pulang dan mereka hairan melihat Seriayu yang pucat lesi sedang diurut oleh ibunya untuk meredakan rasa terkejut.

     Seriayu menceritakan kejadian yang dilaluinya tadi dan mengapa cadar itu diikat dan diletakkan diluar rumah.  Bapa Seriayu membaca ayat pendinding diri sebelum membuka ikatan pada cadar itu.  Tetapi bila dibuka, tiada apa-apa terdapat di dalamnya dan ia kelihatan bersih.  Bapa Seriayu masuk kedalam biliknya dan memeriksa dibawah  dan di penjuru katil jika terdapat ulat yang merayap dan sewaktu meninjau keadaan bilik itu ia terjumpa biji-biji kacang hijau yang bersepah-sepah dibawah katil dan tiada walau seekor pun ulat.

     Memandangkan majlis kenduri pada esoknya maka kejadian tersebut di sembunyi dari pengetahuan keluarga.  Petang itu rumah ibu bapa Seriayu di penuhi dengan jiran tetangga dan sanak saudara yang menolong untuk memasak lauk pauk.  Tiada keganjilan berlaku sehinggalah pada pagi hari kenduri dimana lalat memenuhi segenap penjuru.  Seriayu dan adik beradiknya mencuba berbagai cara untuk mengurangkan lalat tetapi hampa.  Para tetamu datang dan dari air muka, mereka sedikit geli untuk makan memandangkan banyak lalat hinggap diatas makanan.  Seriayu kasihan pada ibubapanya bila melihat keduanya tidak henti-henti memohon maaf pada tetamu.  Rombongan pengantin lelaki datang dan balik tanpa menyentuh hidangan.  Masa terasa lambat benar untuk petang dengan keadaan yang penuh dugaan dan akhirnya setelah majlis selesai, lauk pauk banyak yang tak habis dan sanak saudara telah pulang kerumah masing-masing.  Pada malam itu adik Seriayu tidur berteman dengan adik bongsu Seriayu memandangkan pengantin lelaki balik kerumahnya.  Tiba-tiba kedua-duanya menjerit pada malam itu bila kaki mereka di basahi dengan air seperti dikencing sewaktu mereka sedang nyenyak tidur akibat kepenatan.  Akibatnya pada malam itu masing-masing tidur bersama di depan tv sambil bercerita benda-benda pelik yang terjadi sehinggalah ke pagi.  Sesekali terdengar seperti air disimbah dari tempat tinggi dan menimpa kereta-kerata diluar.  Semua ketawa bila suami Seriayu membuat lawak "Habis kereta aku kena kencing dengan makhluk tu, mesti hancing gila tu!" 

     Kedengaran suara ibu dari belakang rumah pada pagi esoknya, " Seriayu jangan datang ke belakang rumah, kemas je di ruang dalam."  Seriayu faham yang ibunya ingin memberitahu yang di kawasan luar rumah dipenuhi dengan ulat-ulat.  Setelah berbincang, Seriayu menyarankan agar ayahnya berjumpa dengan perawat dan bertanya hal tersebut.  Lalu bapa Seriayu mengambil biji-biji kacang hijau itu lalu menuju kerumah seorang perawat di hujung kampung.  Orang tua itu menceritakan yang kedua ibubapa Seriayu disihir dengan menggunakan biji-biji kacang hijau yang telah digoreng.  Makhluk tersebut disuruh untuk menunggu kacang tersebut sehinggalah ia tumbuh.  Ulat-ulat itu adalah ulat-ulat mayat yang merayap memasuki telinga mereka agar mereka tidak dapat melelapkan mata dan akhirnya sakit.  Ulat itu juga adalah ibu kepada lalat-lalat yang menganggu pada hari kenduri.

     Perawat itu datang kerumah ibubapa Seriayu sambil membakar kemenyan dan perasap kesegenap ruang dalam rumah dan ia memberitahu pada bapa Seriayu yang jika itu adalah lalat sebenar, ia akan masuk kedalam baldi yang diisi air tetapi jika ia adalah jelmaan maka ia akan hilang.  Sekelip mata semua lalat dan ulat telah lenyap dan tiada kesan dan bekas langsung.  Beristighfar ibubapa Seriayu bila melihat kejadian pelik tersebut.


     Eloklah dibuat pagar rumah dan bacaan Yassin sebelum memulakan majlis kenduri kahwin kerana kita tidak tahu hati dan dengki kesumat orang.  Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.  Wallahuallam.

Tamat.

Coretan,
masryarnida.



No comments:

Post a Comment