Pages

Search This Blog

Monday, December 23, 2013

Jelmaan Potret


     Disebuah villa yang usang, diami seorang nenek tua bersama anak lelakinya yang masih belum berumahtangga.  Memandangkan rumah itu tersergam di tengah-tengah kampung dan dikelilinggi oleh kuil Hindu serta rumah-rumah jiran yang agak jauh, ia kelihatan cukup menyeramkan bagi sesiapa yang lalu lalang.  Pada malam hari akan ada jiran tetangga yang datang untuk menonton filem melayu memandangkan di kampung itu, rumah itu sahaja yang mempunyai tv.  Pada tahun 70-an, seorang pegawai kastam adalah cukup kaya dan disegani oleh orang-orang kampung.  Inilah rumah nenek sebelah ibu Seriayu.  Ibu Seriayu adalah anak perempuan tunggal bagi pasangan tersebut.

     Kejadian berlaku sewaktu Seriayu pulang ke kampung neneknya pada Hari Raya dari rumah mereka di Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang.  Seriayu seorang yang suka menyendiri dan di rumah neneknya terdapat satu bilik di bawah tangga yang dijadikan stor dan perpustakaan, tempat yang paling disukai olehnya.  Ia boleh duduk didalam bilik itu berjam-jam sehinggalah dipanggil ibunya untuk makan.  Nenek Seriayu amat sayang akannya memandangkan ia suka membaca buku dan tak menyepah dan tak banyak kerenah berbanding adik-beradiknya yang lain.

     Rumah nenek Seriayu dihiasi dengan sepasang patung gajah yang sedang bergaduh, terletak diatas piano dan patung ini dibeli oleh bapa saudaranya ketika ia belayar ke Thailand.  Ditepi kiri dan kanan dinding pula tergantung potret wanita yang seorang memakai selendang di atas kepala dan seorang lagi melepaskan rambutnya yang panjang mengurai.  Potret seorang wanita yang menutupi kepalanya dengan selendang kelihatan manis dan tidak mengerunkan dan pandangan mata potret ini kaku sahaja berbanding sebuah lagi potret yang gambarnya seorang wanita yang melepaskan rambut serta pandangannya hidup seperti kemana sahaja anda duduk, matanya akan tertumpu kepada anda.  Senyumannya sukar untuk kita gambarkan, nak kata marah pun tidak, nak kata senyum pun tidak dan nak kata sedih pun tidak.  Seriayu tidak suka menonton tv berseorangan kerana ia tidak selesa dengan gambar ini tambahan pula matanya akan senantiasa menjeling pada gambar tersebut dan bukannya menonton.

     Suatu hari sekitar pukul 8 malam, Seriayu menemani neneknya dirumah memandangkan semua adik beradik mengikuti ibubapa Seriayu ke kedai.  Sewaktu neneknya sedang menunaikan solat Maghrib dan mengaji sementara menunggu untuk mendirikan solat Isya' Seriayu duduk di tingkat bawah dan menonton tv.  Memandangkan lampu ditutup dan hanya diterangi dengan cahaya dari tv, Seriayu terasa seperti ada sesuatu yang bergerak melintasinya di belakang.  Perasaannya menjadi seram sejuk dan lembaga itu seperti kehulu ke hilir cuba untuk membuat Seriayu menoleh.  Seriayu adalah seorang budak yang tidak akan menegur sesuatu perkara yang ganjil mahupun menoleh ke belakang jika ia berasa takut pada sesuatu di belakangnya.  Ia akan bangun perlahan-lahan lalu menuju ke dapur tanpa menoleh.  Seriayu duduk di atas tangga yang menuju ke tingkat atas dimana neneknya sedang mengaji dan di tangga itu Seriayu dapat menonton tv dari jauh memandangkan ruang dapur bersambung dengan ruang menonton dan tangga pula terletak di dapur.  Seriayu dapat melihat sesusuk tubuh yang mundar mandir di ruang menonton dan berkeliaran tak tentu arah serta rambutnya yang panjang mengurai kelihatan cukup mengerunkan lalu Seriayu naik ketingkat atas dan baring dibelakang neneknya.  Neneknya masak benar dengan sikap cucunya, tentu ada sesuatu yang mengganggu bila dilihat kelakuan dan pandangan mata Seriayu.  Neneknya memegang tangan Seriayu sambil memberikan isyarat dengan matanya supaya ia baring disitu.

     Seriayu tidak menceritakan pengalaman yang dialaminya kepada yang lain kerana dikuatiri akan menakutkan mereka, ia memegang pesanan neneknya. Pada malam itu, pada waktu seperti semalam, adik beradiknya sedang menonton tv dan Seriayu cuma duduk di atas tangga dan menonton dari jauh.  Ketika mereka sedang menonton, kelihatan di belakang mereka sesusuk tubuh yang rambutnya panjang mengurai, menonton bersama dan duduk di kerusi makan disebalik dinding pemisah antara ruang menonton dan ruang makan.  Dinding tersebut dinding hiasan yang diperbuat seperti kotak-kotak kecil yang berlubang maka pandangan dari dapur dapat dilihat sehingga ke ruang menonton.  Tiba-tiba lembaga tersebut berpaling kearah Seriayu yang sedang memerhatinya dan Seriayu kaku dan sedikit menjerit bila wajah didepannya sering tak tumpah dengan wajah potret didinding rumah neneknya.  Cuma wajah yang cukup mengerunkan dengan kulit yang terkopek dan biji mata yang tersembul keluar.  Bila mereka mendengar jeritan Seriayu, semua berlari kearahnya lalu menanyakan perkara yang mengejutkan Seriayu, tetapi Seriayu cuma dapat menunjukkan tempat lembaga itu duduk tetapi lembaga itu telah lenyap.

     Seriayu demam dan neneknya meminta agar bapa saudara Seriayu membuang gambar tersebut tetapi ia menyimpan potret itu didalam stor di bawah tangga kerana nilai gambar tersebut mahal kerana ia seakan-akan potret Monalisa, cuma berwajah melayu.  Seriayu tidak lagi menyendiri di dalam bilik tersebut memandangkan gambar tersebut di simpan disitu.

     Patutlah Islam melarang kita mengantung gambar-gambar potret yang dilukis kerana malaikat tidak masuk ke rumah dan tambahan pula, ia akan menjadi tempat shaitan dan jin bersembunyi.  Bila neneknya membaca Al-Quran, makhluk itu akan kepanasan dan mundar mandir tak tentu arah.  Wallahuallam.

TAMAT.

Nukilan,
masryarnida



 







No comments:

Post a Comment