Pages

Search This Blog

Thursday, December 19, 2013

Tikus Jelmaan

     Saya sebagai penulis kepada pengalaman yang berlaku pada Seriayu menjadi seram juga bila berhadapan dengan keluarga ini yang sering  diganggu makhluk-makhluk ghaib.  Takut-takut ada yang mengikut saya pulang.  Saya bertawakal dan berserah kepada Allah, ia lebih mengetahui tentang setiap makhluknya.


     Kejadian berlaku bila rumah kediaman Seriayu diperbesarkan dari setingkat menjadi dua tingkat.  Anak-anak lelakinya ditempatkan di tingkat atas dan anak gadisnya ditingkat bawah.  Masing-masing dengan bilik yang dihias ikut kegemaran dan kesukaan sendiri.  Seriayu menyediakan satu ruang untuk solat dan beribadat.  Bilik tersebut disusun dengan buku-buku agama dan Al-Quran serta tasbih-tasbih yang tersusun kemas.  Cukup tenang dan damai bila saya memasuki ruang tersebut.  Segala masaalah dan runsing seperti di cubit buang dari kotak fikiran.  Cukup untuk membuat saya teringat segala kesilapan dan dosa.
Bilik yang harum kerana di penuhi dengan bauan minyak atar menusuk hidung dan Seriayu lantas berkata " Bilik ini ada ceritanya "! Cepat-cepat saya mengeluarkan pen dan kertas sebelum Seriayu terlupa.

     Pada malam Selasa, seperti kebiasaan Seriayu akan menunaikan solat Maghrib dan membaca Al-Quran sehingga masuknya waktu Isya'.  Sewaktu ia sedang membaca Al-Quran ia terlihat seekor tikus menyelinap disebalik almari yang tersusun buku-buku agama. Seriayu rasa marah kerana ia tidak mahu ruang solatnya dikotori dengan najis tikus.  Dipanggil suami serta anak lelakinya lalu mengepung tikus itu beramai-ramai.  Tikus itu dikejar mengelilingi ruang tersebut dan habis tempat itu tunggang terbalik dan bersepah.  Akhirnya tikus tadi dapat diserkup dengan bakul oleh suami Seriayu.  Cuma ia didalam longgokan kain buruk yang dibuat penghadang oleh anaknya.  Suami Seriayu serta anaknya agak geli dengan tikus, jadi waktu untuk membunuh tikus tersebut huru hara jadinya.  Lantas sepantas kilat dicapai kayu dari tangan suaminya lalu ditekankan kayu itu betul-betul atas tikus tersebut dan serentak itu juga tikus tersebut mengeluarkan satu bunyi jeritan yang nyaring dan menyeramkan.  Raungannya membuatkan bulu roma berdiri dan Seriayu teruskan juga sehingga tikus itu tidak bergerak lagi dan mati.  Bangkai tersebut dibuang kedalam longkang besar di depan rumah yang airnya mengalir laju.

  Pada keesokan harinya, waktu ingin menunaikan solat Subuh, badan Seriayu panas dan seluruh sendinya sakit dan lenguh-lenguh.  Ia mengadu pada suaminya lalu diberikan ubat demam yang terdapat di dalam peti sejuk.  Selepas sarapan dan suaminya ke tempat kerja, ia baring dan rehat di atas katil.  Demamnya beransur hilang dan datang kembali selepas Solat Asar.  Suaminya membuat andaian yang mungkin kerana sudah sampai masa untuk makan ubat lagi kerana sudah melebihi 6 jam.

     Kejadian yang sama berulang kembali pada hari Khamis dan ia menguatkan dirinya memandangkan malam itu adalah malam Jumaat.  Seriayu menunaikan solat Maghrib diruang solat dan beangan-angan ingin membaca Surah Yassin selepasnya tetapi akibat dari keadaan yang kurang sihat maka ia terbaring di atas sejadah sehinggakan ia terlelap.  Tiba-tiba ia bangun dengan bertelekung, mata yang merah menyala dan terbeliak lalu menerkam suaminya dan meminta agar diceraikan.  Suami dan anak-anak yang kebingungan menjadi panik seketika.  Anak-anaknya berlari keluar rumah sambil duduk memeluk diantara satu sama lain sedangkan ayah mereka sedang memujuk Seriayu dan memohon maaf kerana tidak menjaganya sewaktu Seriayu sakit kerana sibuk dengan kerjanya yang tak habis-habis.  Suara Seriayu bertukar garau dan mengilai-ngilai diantara tawa dan tangis dan waktu itulah suaminya sedar situasi yang sebenarnya lalu dibaca Surah Fatihah dan Ayat Qursi dengan kuat sambil memeluk erat isterinya yang meronta-ronta tetapi agak mudah memandangkan isterinya bertelekung maka tangan serta kakinya seperti terikat bila dipeluk.  Lama kelamaan Seriayu sedar dan ia mendengar tangisan anak-anaknya diluar rumah lalu dimarah suaminya dibiarkan anak begitu kerana malu dengan jiran tetangga.  Ia masih tidak sedar tentang kejadian itu dan bila anak-anaknya mendengar suara ibu mereka memanggil masuk, cepat-cepat mereka masuk dan memeluk ibu mereka sambil menangis.  Seriayu yang kembali pulih seperti sediakala telah memujuk anak-anak dan mendengar cerita dari suaminya tentang kelakuan dan permintaannya.  Seriayu beristigfar beberapa kali dan memesan pada suami dan anak-anak agar melihat pandangan mata Seriayu untuk mengetahui adakah ia kerasukan.  Orang kerasukan akan terbeliak mata dan pandangannya amat tajam, juga mengeluarkan kata-kata yang tak munasabah.

      Seriayu bersama suaminya membuat andaian, adakah kejadian tersebut ada hubung kaitnya dengan pembunuhan tikus pada malam selasa sebelumnya?.  Atau adakah disebabkan Seriayu melanggar pantang larang orang tua yang melarang kita dari tidur bertelekung diatas sejadah seperti mayat.  Wallahualam.....


Tamat.

Coretan dari,
Masryarnida.

1 comment:

  1. Casinos Near Foxwoods Resort Casino - Mapyro
    Closest Casinos near 광명 출장샵 Foxwoods Resort Casino · Mohegan Sun 고양 출장안마 · Foxwoods Casino at Virgin Hotels 광명 출장샵 Las Vegas · Caesars 바카라 사이트 Palace · 광주 출장샵 Red Lion Resort Casino

    ReplyDelete