Pages

Search This Blog

Tuesday, December 31, 2013

Penghuni rumah tinggal

     Kisah ini berlaku sewaktu Seriayu menetap di Bercham, Ipoh, Perak.  Memandangkan suaminya ditugaskan di Ipoh untuk Projek Pembinaan Landasan Keretapi Berkembar maka Seriayu berpindah kesana untuk memudahkan suaminya daripada berulang-alik ke Kuala Lumpur walaupun terpaksa meninggalkan rumah sendiri dan menyewa di Ipoh.

     Mereka berpindah ke Ipoh dalam bulan puasa dan kebanyakan jiran Seriayu berbangsa Cina tetapi mereka baik dan ramah pada Seriayu.  Pada satu hari ketika bangun untuk bersahur, sekitar pukul 4 pagi, Seriayu menjerit ketakutan bila sewaktu membasuh pinggan di sinki dimana terdapat didepannya tingkap Nako yang tidak berlangsir, kelihatan lembaga wanita yang sedang berdiri disebalik cermin sedang memerhatikannya.  Suaminya yang kebetulan tidur di depan tv bersama anak-anaknya terkejut jaga.  Ia bangun dan menuju ke dapur dan dengan bacaan Bismillah ia membuka tingkap tersebut dan tidak ada apa-apa disitu.  Pada esoknya Seriayu menggantung langsir ditingkap tersebut.

     Selang beberapa minggu, anak sulung Seriayu yang berumur 10 tahun kelihatan lesu tak bermaya dan anak perempuannya yang berumur 7 tahun pula suka menyendiri di biliknya. Dua orang adik mereka yang masing-masing  berusia 5 tahun dan 8 bulan tidur bersama Seriayu. Memandangkan mereka sudah bersekolah maka mereka diberi bilik sendiri.  Anak lelaki sulung selalu mengajak adik perempuannya tidur di biliknya memandangkan dibilik yang luas itu terdapat dua katil bujang iaitu katil adik lelakinya yang tidur bersama ibu mereka kerana kesihatannya yang kurang sihat semenjak berumur 6 bulan lagi.

     Seriayu melihat keganjilan pada anak-anaknya tetapi mereka tidak pernah menceritakan apa-apa kepadanya.  Sejak kebelakangan ini mereka berdua sering tidur di depan tv dan menonton sehingga larut malam sehinggalah suatu malam Seriayu mengamuk dan memarahi kedua-duanya.  Serentak keduanya melangkah longlai menuju kebilik si abang dan baring dikatil masing-masing.  Pada esoknya kedua-dua anaknya pucat lesi dan suhu badan keduanya sedikit panas.  Akhirnya Seriayu dan suami mengambil keputusan untuk tidur di hadapan tv bersama anak-anak.  Pada hari raya, mereka sekeluarga balik ke kampung untuk 2 minggu dan rumah mereka dikunci dan disendal dengan kemas tetapi mereka tidak gusar memandangkan jiran mereka adalah berbangsa Cina dan menetap di situ.

     Setelah habis bercuti dan kembali semula ke rumah, Seriayu dan suami terkejut melihat tingkap di dapur ternganga dan bilik tidur mereka bersepah tetapi yang hairannya mereka tidak kehilangan apa-apa barang berharga sedangkan jam berjenama terletak di atas meja di ruang tamu, hamper hari raya serta video game PS 2 di ruang yang sama.  Jiran-jiran mereka pun hairan dan memandangkan rumah itu kepunyaan seorang Inspektor polis yang bertugas di Ipoh maka suami Seriayu menceritakan kejadian yang berlaku kepadanya dan ia membuat kesimpulan yang pencuri itu mengambil masa beberapa hari memandangkan jeriji besi dipotong kesemuanya dengan gergaji kerana permukaan besi yang rata dan licin.  Tetapi yang menjadi persoalannya, kenapa mereka tidak mengambil apa-apa padahal mereka telah bersusah payah.  Pemilik juga hairan bila melihat keadaan dibilik kedua, ada sesuatu yang mengejutkan mereka di bilik itu kerana bilik itu lacinya ternganga dan duit bertaburan di lantai. Apa yang mengejutkan mereka?. Kenapa dibiarkan duit bertaburan?.

     Dua tahun berlalu dan Seriayu berpindah semula ke rumah mereka di Kuala Lumpur.  Anak anak Seriayu ceria sambil menolong ibu mereka mengemas dan membungkus barang-barang kaca.  Cukup girang anak sulung dan anak perempuan tunggalnya.  Rajin dan tidak membantah walaupun tertidur di lantai kerana kepenatan.  

     Suatu hari, setelah beberapa bulan Seriayu menetap di rumahnya semula, anak-anak Seriayu menceritakan sesuatu yang membuatkannya terkejut.  Pada setiap malam, sekitar pukul 3 pagi, mereka berdua akan dikejutkan oleh 3 lembaga dibilik tidur.  Lembaga-lembaga itu membuat isyarat agar mereka berdiam diri dan menghalang pintu agar mereka tidak dapat keluar untuk kebilik Seriayu.  Si abang akan memujuk adiknya yang menangis ketakutan hinggalah mereka tertidur.  Mereka tidak berani menceritakan kepada Seriayu kerana takut dimarahi makhluk-makhluk tersebut.  Mereka menyendal pintu dengan kotak atau kerusi agar pintu bilik terbuka dan memandangkan bilik mereka bertentangan dengan bilik Seriayu maka senanglah untuk mereka melarikan diri tetapi pada waktu kejadian pintu bilik tertutup.  Seingat Seriayu dan suami, mereka tidak pernah menutup pintu bilik anak mereka.  

     Bagaimana rupa lembaga tersebut? Tanya suami Seriayu pada anak-anaknya.  Satu berbadan sasa dengan berbaju besi seperti perisai dan berkepala kerbau, satu lagi seorang perempuan berbaju putih yang berambut panjang dan ia selalu berdiri menghadang pintu dan satu lagi tidak berbaju tetapi berwarna hijau.  "Abang seorang yang nampak, atau adik yang nampak benda tu "? Tanya suami Seriayu pada anak-anaknya.  "Abang dan adik".  Jawab kedua-duanya serentak.  Mereka bersyukur kerana mereka tidur dengan anak-anak selepas kedua-duanya demam tempoh hari.  Tiada kejadian buruk yang terjadi kecuali anak ketiganya yang sering bengkak badannya seperti alahan tetapi sembuh bila berpindah keluar.

     Bila di selidik, rumah tersebut adalah rumah yang penghuninya bunuh diri dengan mengantung diri di bilik kedua kerana suaminya meninggalkannya untuk bersama wanita lain.  Semenjak itu, rumah itu tidak berani diduduki sehinggalah Seriayu menyewanya selama 2 tahun.  Selepas Seriayu berpindah keluar, terus pemilik menetap di situ kerana tidak mahu rumah itu kosong seperti dahulu.

     Semenjak kejadian tersebut, Seriayu sering tidur bersama dengan anak-anak sehinggalah mereka besar dan pandai menghafal ayat-ayat suci Al-Quran.  Anak-anaknya membesar dan mirip dengan kelakuan ibu mereka yang sering melihat makhluk-makhluk ghaib.  Pengalaman mengajar mereka berani menempuh kejadian-kejadian pelik.

     Rumah tidak elok dibiarkan kosong dan tidak berpenghuni lebih dari 40 hari kerana ia mengundang jin dan syaitan untuk menetap di situ.  Seelok-eloknya di samak dan dipagar sebelum diduduki.  Wallahuallam.

Tamat.

Nukilan,
masryarnida. 

Monday, December 30, 2013

Ulat Mayat


     Saya sebagai penulis dan orang yang mendengar kisah-kisah dari mulutnya sendiri, sukar untuk memahami betapa sabarnya insan yang sedang duduk di depan saya ini.  Orangnya tidak sombong dan peramah, tidak suka menyusahkan orang lain dan suka memberi kanak-kanak makan.  Katanya " Budak-budak kalau makan, ia tidak akan mengumpat di belakang, sedap ke, tidak ke, dia akan makan je.  Kita akan lebih ikhlas dan pemberian lebih berkat."

     Ini kisah mengenai sihir yang dituju kepada ibubapa Seriayu.  Seriayu mempunyai seorang adik perempuan yang digilai oleh banyak pemuda walau kemana sahaja ia pergi.  Orangnya lemah lembut dan senang diajak berbual.  Kulitnya kuning langsat dan tubuhnya tinggi lampai.  Dia telah mempunyai buah hati pilihan sendiri dan ibubapa Seriayu hanya mengikut sahaja kerana setiap anak diberi kebebasan untuk mencari pilihan hidup.  Mereka ditunangkan setelah setahun mengenali hati budi masing-masing.

     Seriayu menetap di Ipoh, Perak dan  memudahkan ia untuk  menolong ibubapa untuk menguruskan kenduri kahwin adiknya.  Seriayu pulang dua hari lebih awal dari tarikh majlis persandingan.  Kedua ibubapa Seriayu sering demam bersilih ganti dan sukar untuk melelapkan mata sehinggalah waktu subuh.  Bapa Seriayu mengadu pada anaknya itu akan perihal seperti ada sesuatu yang merayap dalam telinganya dan membuatkan ia resah.  Mereka berdua telah dibawa ke klinik untuk pemeriksaan oleh adik Seriayu tetapi doktor mengatakan yang mereka berdua sihat.  Keadaan ini telah berlaku semenjak 3 bulan lepas dan tubuh keduanya mula kurus kering.  Bila Seriayu menasihati keduanya agar tidak perlu runsing akan majlis kenduri ini dan mereka menidakkannya kerana ini bukan pertama kali mereka menguruskan majlis seperti ini.

     Seriayu mengemas rumah ibubapanya dengan pertolongan suami dan adik-adik.  Almari disusun semula dan ruang tamu di biar lapang dan tempat untuk diletakkan pelamin dibiarkan kosong.  Setelah selesai Seriayu seperti tergerak hati untuk masuk kedalam bilik ibubapanya.  Seriayu tidak akan masuk kedalam bilik itu kecuali disuruh ibunya mengambil sesuatu semenjak dulu lagi.  Suami Seriayu menemani bapa mertuanya membeli barang keperluan dan ibu Seriayu sibuk di dapur bila dilihatnya Seriayu sibuk mengemas rumah.  Kali ini Seriayu masuk tanpa disuruh dan ia berasa tidak sedap hati dan meremang bulu romanya.  Ia bersendirian dan ia dulukan dengan bacaan Bismillah dan di angkat bantal-bantal ibu bapanya untuk digantikan cadar dan sarung bantal yang baru memandangkan tentu ada saudara mara yang akan menggunakan bilik itu untuk solat pada hari kenduri nanti.  Kelihatan dibawah bantal keduanya, terdapat gumpalan sebesar bola golf.  Terletak elok dibawah bantal ibu dan bapa Seriayu seperti batu azimat.  Seriayu mengamati dengan teliti dan ia berfikir kenapa keduanya menggunakan tangkal seperti itu untuk menyembuhkan sakit atau mengubati kesukaran untuk tidur malam.  Seriayu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil dikuisnya gumpalan itu.  Tiba-tiba gumpalan itu pecah dan rupa-rupanya ia adalah ulat-ulat sebesar kacang merah yang melekat diantara satu sama lain dan kedua-duanya pecah serentak.  Lalu Seriayu yang memang geli dan takutkan ulat telah menjerit sekuat hati.  Ulat-ulat itu merayap-rayap dan pada ketika itu adiknya sedang duduk diluar bilik ibu dan bila didengar kakaknya menjerit, ia pun meluru masuk dan ia melihat ulat-ulat sampah yang besar-besar sedang merayap-rayap di katil ibunya lalu dicantumnya cadar ibunya menjadi seperti kantung lalu dibawanya keluar untuk ditunjukkan pada bapanya bila ia pulang.  Selang beberapa minit suami dan ayah Seriayu pulang dan mereka hairan melihat Seriayu yang pucat lesi sedang diurut oleh ibunya untuk meredakan rasa terkejut.

     Seriayu menceritakan kejadian yang dilaluinya tadi dan mengapa cadar itu diikat dan diletakkan diluar rumah.  Bapa Seriayu membaca ayat pendinding diri sebelum membuka ikatan pada cadar itu.  Tetapi bila dibuka, tiada apa-apa terdapat di dalamnya dan ia kelihatan bersih.  Bapa Seriayu masuk kedalam biliknya dan memeriksa dibawah  dan di penjuru katil jika terdapat ulat yang merayap dan sewaktu meninjau keadaan bilik itu ia terjumpa biji-biji kacang hijau yang bersepah-sepah dibawah katil dan tiada walau seekor pun ulat.

     Memandangkan majlis kenduri pada esoknya maka kejadian tersebut di sembunyi dari pengetahuan keluarga.  Petang itu rumah ibu bapa Seriayu di penuhi dengan jiran tetangga dan sanak saudara yang menolong untuk memasak lauk pauk.  Tiada keganjilan berlaku sehinggalah pada pagi hari kenduri dimana lalat memenuhi segenap penjuru.  Seriayu dan adik beradiknya mencuba berbagai cara untuk mengurangkan lalat tetapi hampa.  Para tetamu datang dan dari air muka, mereka sedikit geli untuk makan memandangkan banyak lalat hinggap diatas makanan.  Seriayu kasihan pada ibubapanya bila melihat keduanya tidak henti-henti memohon maaf pada tetamu.  Rombongan pengantin lelaki datang dan balik tanpa menyentuh hidangan.  Masa terasa lambat benar untuk petang dengan keadaan yang penuh dugaan dan akhirnya setelah majlis selesai, lauk pauk banyak yang tak habis dan sanak saudara telah pulang kerumah masing-masing.  Pada malam itu adik Seriayu tidur berteman dengan adik bongsu Seriayu memandangkan pengantin lelaki balik kerumahnya.  Tiba-tiba kedua-duanya menjerit pada malam itu bila kaki mereka di basahi dengan air seperti dikencing sewaktu mereka sedang nyenyak tidur akibat kepenatan.  Akibatnya pada malam itu masing-masing tidur bersama di depan tv sambil bercerita benda-benda pelik yang terjadi sehinggalah ke pagi.  Sesekali terdengar seperti air disimbah dari tempat tinggi dan menimpa kereta-kerata diluar.  Semua ketawa bila suami Seriayu membuat lawak "Habis kereta aku kena kencing dengan makhluk tu, mesti hancing gila tu!" 

     Kedengaran suara ibu dari belakang rumah pada pagi esoknya, " Seriayu jangan datang ke belakang rumah, kemas je di ruang dalam."  Seriayu faham yang ibunya ingin memberitahu yang di kawasan luar rumah dipenuhi dengan ulat-ulat.  Setelah berbincang, Seriayu menyarankan agar ayahnya berjumpa dengan perawat dan bertanya hal tersebut.  Lalu bapa Seriayu mengambil biji-biji kacang hijau itu lalu menuju kerumah seorang perawat di hujung kampung.  Orang tua itu menceritakan yang kedua ibubapa Seriayu disihir dengan menggunakan biji-biji kacang hijau yang telah digoreng.  Makhluk tersebut disuruh untuk menunggu kacang tersebut sehinggalah ia tumbuh.  Ulat-ulat itu adalah ulat-ulat mayat yang merayap memasuki telinga mereka agar mereka tidak dapat melelapkan mata dan akhirnya sakit.  Ulat itu juga adalah ibu kepada lalat-lalat yang menganggu pada hari kenduri.

     Perawat itu datang kerumah ibubapa Seriayu sambil membakar kemenyan dan perasap kesegenap ruang dalam rumah dan ia memberitahu pada bapa Seriayu yang jika itu adalah lalat sebenar, ia akan masuk kedalam baldi yang diisi air tetapi jika ia adalah jelmaan maka ia akan hilang.  Sekelip mata semua lalat dan ulat telah lenyap dan tiada kesan dan bekas langsung.  Beristighfar ibubapa Seriayu bila melihat kejadian pelik tersebut.


     Eloklah dibuat pagar rumah dan bacaan Yassin sebelum memulakan majlis kenduri kahwin kerana kita tidak tahu hati dan dengki kesumat orang.  Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.  Wallahuallam.

Tamat.

Coretan,
masryarnida.



Monday, December 23, 2013

Jelmaan Potret


     Disebuah villa yang usang, diami seorang nenek tua bersama anak lelakinya yang masih belum berumahtangga.  Memandangkan rumah itu tersergam di tengah-tengah kampung dan dikelilinggi oleh kuil Hindu serta rumah-rumah jiran yang agak jauh, ia kelihatan cukup menyeramkan bagi sesiapa yang lalu lalang.  Pada malam hari akan ada jiran tetangga yang datang untuk menonton filem melayu memandangkan di kampung itu, rumah itu sahaja yang mempunyai tv.  Pada tahun 70-an, seorang pegawai kastam adalah cukup kaya dan disegani oleh orang-orang kampung.  Inilah rumah nenek sebelah ibu Seriayu.  Ibu Seriayu adalah anak perempuan tunggal bagi pasangan tersebut.

     Kejadian berlaku sewaktu Seriayu pulang ke kampung neneknya pada Hari Raya dari rumah mereka di Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang.  Seriayu seorang yang suka menyendiri dan di rumah neneknya terdapat satu bilik di bawah tangga yang dijadikan stor dan perpustakaan, tempat yang paling disukai olehnya.  Ia boleh duduk didalam bilik itu berjam-jam sehinggalah dipanggil ibunya untuk makan.  Nenek Seriayu amat sayang akannya memandangkan ia suka membaca buku dan tak menyepah dan tak banyak kerenah berbanding adik-beradiknya yang lain.

     Rumah nenek Seriayu dihiasi dengan sepasang patung gajah yang sedang bergaduh, terletak diatas piano dan patung ini dibeli oleh bapa saudaranya ketika ia belayar ke Thailand.  Ditepi kiri dan kanan dinding pula tergantung potret wanita yang seorang memakai selendang di atas kepala dan seorang lagi melepaskan rambutnya yang panjang mengurai.  Potret seorang wanita yang menutupi kepalanya dengan selendang kelihatan manis dan tidak mengerunkan dan pandangan mata potret ini kaku sahaja berbanding sebuah lagi potret yang gambarnya seorang wanita yang melepaskan rambut serta pandangannya hidup seperti kemana sahaja anda duduk, matanya akan tertumpu kepada anda.  Senyumannya sukar untuk kita gambarkan, nak kata marah pun tidak, nak kata senyum pun tidak dan nak kata sedih pun tidak.  Seriayu tidak suka menonton tv berseorangan kerana ia tidak selesa dengan gambar ini tambahan pula matanya akan senantiasa menjeling pada gambar tersebut dan bukannya menonton.

     Suatu hari sekitar pukul 8 malam, Seriayu menemani neneknya dirumah memandangkan semua adik beradik mengikuti ibubapa Seriayu ke kedai.  Sewaktu neneknya sedang menunaikan solat Maghrib dan mengaji sementara menunggu untuk mendirikan solat Isya' Seriayu duduk di tingkat bawah dan menonton tv.  Memandangkan lampu ditutup dan hanya diterangi dengan cahaya dari tv, Seriayu terasa seperti ada sesuatu yang bergerak melintasinya di belakang.  Perasaannya menjadi seram sejuk dan lembaga itu seperti kehulu ke hilir cuba untuk membuat Seriayu menoleh.  Seriayu adalah seorang budak yang tidak akan menegur sesuatu perkara yang ganjil mahupun menoleh ke belakang jika ia berasa takut pada sesuatu di belakangnya.  Ia akan bangun perlahan-lahan lalu menuju ke dapur tanpa menoleh.  Seriayu duduk di atas tangga yang menuju ke tingkat atas dimana neneknya sedang mengaji dan di tangga itu Seriayu dapat menonton tv dari jauh memandangkan ruang dapur bersambung dengan ruang menonton dan tangga pula terletak di dapur.  Seriayu dapat melihat sesusuk tubuh yang mundar mandir di ruang menonton dan berkeliaran tak tentu arah serta rambutnya yang panjang mengurai kelihatan cukup mengerunkan lalu Seriayu naik ketingkat atas dan baring dibelakang neneknya.  Neneknya masak benar dengan sikap cucunya, tentu ada sesuatu yang mengganggu bila dilihat kelakuan dan pandangan mata Seriayu.  Neneknya memegang tangan Seriayu sambil memberikan isyarat dengan matanya supaya ia baring disitu.

     Seriayu tidak menceritakan pengalaman yang dialaminya kepada yang lain kerana dikuatiri akan menakutkan mereka, ia memegang pesanan neneknya. Pada malam itu, pada waktu seperti semalam, adik beradiknya sedang menonton tv dan Seriayu cuma duduk di atas tangga dan menonton dari jauh.  Ketika mereka sedang menonton, kelihatan di belakang mereka sesusuk tubuh yang rambutnya panjang mengurai, menonton bersama dan duduk di kerusi makan disebalik dinding pemisah antara ruang menonton dan ruang makan.  Dinding tersebut dinding hiasan yang diperbuat seperti kotak-kotak kecil yang berlubang maka pandangan dari dapur dapat dilihat sehingga ke ruang menonton.  Tiba-tiba lembaga tersebut berpaling kearah Seriayu yang sedang memerhatinya dan Seriayu kaku dan sedikit menjerit bila wajah didepannya sering tak tumpah dengan wajah potret didinding rumah neneknya.  Cuma wajah yang cukup mengerunkan dengan kulit yang terkopek dan biji mata yang tersembul keluar.  Bila mereka mendengar jeritan Seriayu, semua berlari kearahnya lalu menanyakan perkara yang mengejutkan Seriayu, tetapi Seriayu cuma dapat menunjukkan tempat lembaga itu duduk tetapi lembaga itu telah lenyap.

     Seriayu demam dan neneknya meminta agar bapa saudara Seriayu membuang gambar tersebut tetapi ia menyimpan potret itu didalam stor di bawah tangga kerana nilai gambar tersebut mahal kerana ia seakan-akan potret Monalisa, cuma berwajah melayu.  Seriayu tidak lagi menyendiri di dalam bilik tersebut memandangkan gambar tersebut di simpan disitu.

     Patutlah Islam melarang kita mengantung gambar-gambar potret yang dilukis kerana malaikat tidak masuk ke rumah dan tambahan pula, ia akan menjadi tempat shaitan dan jin bersembunyi.  Bila neneknya membaca Al-Quran, makhluk itu akan kepanasan dan mundar mandir tak tentu arah.  Wallahuallam.

TAMAT.

Nukilan,
masryarnida



 







Saturday, December 21, 2013

Penanggal


     Aku semakin tak faham akan kehidupan Seriayu yang dipenuhi dengan berbagai dugaan dan cubaan.  Mungkin inilah dinamakan liku-liku kehidupan yang telah ditakdirkan.  Aku memerhatikan insan di depanku, seorang wanita yang sering tersenyum di hujung bibirnya tetapi kita tidak dapat menilai seseorang hanya dengan melihat luaran.

     Aku suka berbual dengannya kerana orangnya bila berbicara tak membuatkan kita rasa kita serba kekurangan.  Ia membuatkan kita rasa selesa untuk meluahkan buah fikiran, rasa dan ketidak puasan hati.  Dia boleh dikatakan pakar kaunseling dan motivasi bagiku.  Aku bertanya padanya perihal penanggal, pernahkah ia melalui pengalaman dengan makhluk tersebut, lalu ia tersenyum dan jawapannya ringkas sahaja, "Ada".

     Kisahnya bermula di kampung suaminya yang terletak di daerah Muar.  Seriayu dan suami pulang ke kampung sebulan sekali memandangkan suaminya menanggung kedua ibubapanya serta seorang adiknya yang masih bersekolah.  Setibanya dirumah mentuanya pada hari itu, mereka diberitahu yang ayam direban habis dimakan musang. setiap malam seekor ayam akan dimakan musang tetapi Seriayu dan suami merasakan ada sesuatu yang ganjil dengan peristiwa tersebut.  Keganjilannya ialah keadaan ayam itu dimakan.  Setahu mereka suami isteri, mana ada musang memakan ayam dengan mencabut kepala beserta dengan isi perutnya sekali dan meninggalkan badan ayam tanpa organ dalaman.  Pelikkan!. 


     Menambahkan lagi kemuskilan bila ayam kepunyaan anak mereka yang tinggal bersebelahan tidak pula disentuh.  Tetapi Seriayu dan suami malas untuk berbicara hal itu dengan orang tua kerana dikuatiri terluka hati, lalu baik diamkan diri.  Setiap kali pulang ke kampung, seringkali Seriayu akan mengalami sakit buang air kecil tak henti-henti dan rahimnya sakit.  Sekali dua, bolehlah dikatakan jangkitan kuman tapi bila berkali-kali ianya bukan kebetulan tetapi tentu ada sesuatu yang tidak kena.  Setiap kali pulang ke kampung, mereka akan ke klinik pada esok harinya memandangkan suami Seriayu enggan menurut kata orang tuanya yang menyarankan agar dibawa Seriayu ke bidan kampung untuk dipicit atau ditawas kerana baginya, ia tidak mahu mempertaruhkan akidahnya memandangkan cara perubatan yang menggunakan perasap kemenyan dan terkenan ini atau terkena badi itu. Tambahan pula bila pulang ke rumah mereka semula, keadaan akan kembali pulih.  


     Sewaktu Seriayu menanyakan perihal tersebut kepada jiran-jirannya, mereka menyarankan agar Seriayu jangan menggunakan air kolah di rumah mentuanya.  Guna air terus dari paip sewaktu mandi dan sama sewaktu hendak menyuci selepas membuang air kecil, kerana bagi pendapat mereka makhluk yang suka menganggu rahim wanita adalah penanggal.  Air kolah dirumah mertuanya pula separas pinggang, selebar 4 kaki dan memanjang 7 kaki seperti liang lahat.  Andaian dibuat jirannya yang makhluk tersebut merendamkan dirinya yang kepanasan kedalam kolam tersebut membuatkan Seriayu meremang bulu roma.  Bila nasihat itu diikuti, alhamdulillah Seriayu tidak mengalaminya lagi.

     
     Berbalik kepada kisah malam mereka pulang, Seriayu tidur didalam bilik dan anak-anak mereka bersama sepupu-sepupunya tidur didepan Tv.  Pada malam itu sekitar pukul 1 pagi, mereka yang asyik bermain video game diselang seli dengan ketawa terkejut bila mereka mendengar suatu bunyi yang datang dari arah dapur.  Mereka berempat menoleh serentak dan mereka terpaku bila melihat diatas alang menuju keruang dapur terdapat kepala dengan rambut yang kusut masai tanpa badan sedang meniti disepanjang alang tersebut dan kelihatan seperti air berwarna kuning cair meleleh dari usus yang tergantung-gantung.  Mereka terus menyelubung kepala dengan selimut dan terus tidur tanpa menutup tv kerana ter
lalu takut.  Pada keesokannya mereka menceritakan perihal tersebut kepada Seriayu lalu mengucap panjang Seriayu.  Semenjak itu dimana Seriayu tidur ia akan memastikan anak-anaknya tidur bersamanya.  Dan semenjak itu juga Seriayu dan anaknya tidak mandi lagi menggunakan air kolah tersebut kerana suami Seriayu membuat air pancuran mandian terus dari paip.  Ayam tidak diternak lagi memandangkan jika diternak peristiwa sama akan berulang.

     Menjadi persoalannya, siapakah yang membela PENANGGAL tersebut dan kenapa ia berkeliran dirumah mertuanya, masih menjadi tanda tanya bagi Seriayu dan suami sehingga kini.
Wallahuallam..

TAMAT.

Nukilan,
masryarnida.

Thursday, December 19, 2013

Hantu Raya


       Aku sebagai penulis pun bila nak tulis cerita hantu spesis ni yang membuatkan badan aku jadi seram sejuk.  Gayat pun ada, takut pun ada.  Tapi aku cuma menulis pengalaman Seriayu jadi aku kuatkan iman dan aku kuatkan semangat.

      Kisah bermula bila suami Seriayu memakai cincin kepunyaan ayahnya yang diambil diruang dapur sewaktu pulang kekampung.  Cincin berbatu hijau buruk dan diikat dengan perak itu mencuri pandangan Seriayu sewaktu ia sibuk memasak didapur lalu ia membelek-belek cincin tersebut.  Dalam hatinya berkata jika bapa mertuanya tidak mahu lagi memakai cincin itu baik diberi kepada suaminya.  Lantas ia memberitahu suaminya akan perihal cincin tersebut dan dari dibiarkan merata-rata baik dipakai.  Lalu Seriayu menanyakan hal cincin itu kepada bapa mertuanya dan ia memberikan cincin tersebut kepada Seriayu.

     Dalam 2 ke 3 bulan selepasnya tiada kejadian ganjil yang berlaku sehinggalah Seriayu melihat sikap anak sulungnya yang agak pelik.  Seriayu sering sakit-sakit dan demam bergilir-gilir dengan suaminya.  Tambahan pula sikap anak Sulungnya berubah sama sekali.  Ia didalam Tingkatan 5 dan seorang budak yang cukup mendengar kata ibubapa serta guru telah bertukar menjadi seorang yang degil dan panas baran.  Sikapnya memberontak dan malas belajar dan suka menyendiri.  Akhirnya Seriayu telah hilang sabar lalu dimarah anaknya cukup-cukup dan ketika itulah anaknya mula kerasukan dan suaranya bertukar-tukar.  Sekejap, ia akan mengeram garau dan seketika akan kedengaran suaranya memanggil ayahnya meminta tolong "Ayah, tolong abang ayah..." panggilnya sayu dan tiba-tiba ia akan mengeram semula dan dalam waktu yang sama ia memecah segala barang didalam biliknya.  Seriayu terduduk di atas lantai di ruang tamu sambil menangis dan menyuruh anak keduanya meminta tolong pada jiran sebelah.  Kebetulan ketika itu, jiran Seriayu telah dilawati oleh orang tuanya yang bertugas sebagai Imam disebuah masjid di utara tanah air.  Tergopoh-gopoh ia datang bila ia rasa ada sesuatu yang tak kena memandangkan suara anak Seriayu seperti orang kerasukan.  Dibacanya ayat-ayat suci sementara suami Seriayu dan jiran mereka memegang anaknya yang meronta-ronta dengan kekuatan yang luar biasa.  Disuruhnya suami Seriayu melaungkan azan untuk melemahkan makhluk tersebut dan mudah untuk diberikan minum pada anaknya yang kerasukan.  Kelihatan seperti kelibat atau bayangan hitam menuruni tangga dan keluar dari rumah dan akhirnya ia sedar dan tertidur lalu cepat-cepat dipasangkan keset bacaan ayat-ayat Al-Quran di dalam biliknya.

  Orang tua itu memberitahu ada makhluk yang menganggu dan menyarankan agar berubat segera jangan bertangguh lagi.  Pada keesokan paginya suami Seriayu memohon cuti tergempar lalu membawa anaknya pulang ke kampung Seriayu untuk berubat.  Petang itu sewaktu berubat, si Perawat cuma diam tidak berkata apa-apa dan ia cuma menyuruh kami datang semula pada keesokannya kerana ia ingin bertafakur pada malam tersebut.

     Pada keesokannya, Seriayu bersama suaminya tanpa membawa anak mereka telah berjumpa dengan perawat tersebut lalu diberitahu ada cincin yang perlu mereka beri padanya untuk dibuang atau dikembalikan pada tuannya.  Mereka tidak faham akan maksud si perawat dan tambahan pula mereka tak ingat langsung perihal tersebut.  Si perawat memberitahu ada sebentuk cincin berbatu hijau buruk dan ketika itu juga mereka berdua teringat akan cincin yang Seriayu ambil dua tiga bulan sebelumnya.  Tetapi persoalannya dimanakah cincin tersebut?.

     Bila pulang semula ke rumah mereka, Seriayu serta suami menyelongkar segala laci dan almari mencari cincin tersebut tetapi hampa.  Akhirnya Seriayu menanyakan pada anak-anaknya tentang cincin tersebut dan terkejut mereka bila diberitahu yang cincin tersebut dipakai oleh anak sulung mereka dan bila lama kelamaan dia merasakan badannya sakit-sakit lalu dibuangnya cincin itu ke bawah sofa.  Cepat-cepat suami Seriayu mengangkat sofa diruang tamu rumah lalu terjumpalah cincin itu.  Disimpannya di dalam almari lalu dikunci untuk dipulangkan semula pada hujung minggunya.

     Hari tersebut, hari Isnin dan badan Seriayu demam semula.  Anak-anak Seriayu semuanya tidur diruang tamu beramai-ramai kecuali anak bongsu yang tidur bersama Seriayu dan suami. Pada malam itu sekitar pukul 3 pagi Seriayu yang diapit suami serta anaknya terkejut bila ada sesuatu yang menyentuh kakinya dan bila dilihat sesusuk tubuh yang seiras suaminya sedang tersenyum menyeringai dan cuba untuk merabanya.  Sepantas kilat Seriayu menyepak lembaga tersebut lalu hilang dan ia mengejutkan suaminya yang sedang tidur.  Pandangan dan senyuman lembaga itu amat berbeza dan menyeramkan.  Kejadian sama berulang kembali kali keduanya tapi ditepis oleh Seriayu waktu ia cuba untuk memeluknya dan kejadian ketiga amat ganas bila makhluk itu cuba mengoyakkan baju Seriayu dan Seriayu melawannya sambil dibacakan ayat-ayat suci dan ia tidak datang lagi.

     Seriayu pulang ke kampung suaminya dan malam itu ibu mertuanya tiada dirumah dan sewaktu makan malam Seriayu menyerahkan kembali cincin tersebut kepada bapa mertuanya dengan lafaz " Saya pulangkan segala hak milik bapak". Ini disebabkan Seriayu yang meminta cincin tersebut maka ia yang perlu memulangkannya semula.  Selepas itu mereka mula berhati-hati dan berwaspada.

      Oleh itu ingatlah wahai pembaca sekalian, walaupun kita cukup kasih sayang, hormat malah terhutang budi sekalipun dengan orang tua kita tapi dengan bab yang menyentuh akidah jangan dibuat main.  Yang pertama adalah ALLAH dan kedua baru orang tua.  Tiada makhluk yang dapat menyaingi Pencipta.

Tamat.

(Waktu saya menulis kisah ini, tiba-tiba tulisannya hilang seperti dipadam dan saya menaipnya semula sambil saya save sekejap-sekejap.)  Wallahualam..........

Nukilan oleh,
Masryarnida.


Tikus Jelmaan

     Saya sebagai penulis kepada pengalaman yang berlaku pada Seriayu menjadi seram juga bila berhadapan dengan keluarga ini yang sering  diganggu makhluk-makhluk ghaib.  Takut-takut ada yang mengikut saya pulang.  Saya bertawakal dan berserah kepada Allah, ia lebih mengetahui tentang setiap makhluknya.


     Kejadian berlaku bila rumah kediaman Seriayu diperbesarkan dari setingkat menjadi dua tingkat.  Anak-anak lelakinya ditempatkan di tingkat atas dan anak gadisnya ditingkat bawah.  Masing-masing dengan bilik yang dihias ikut kegemaran dan kesukaan sendiri.  Seriayu menyediakan satu ruang untuk solat dan beribadat.  Bilik tersebut disusun dengan buku-buku agama dan Al-Quran serta tasbih-tasbih yang tersusun kemas.  Cukup tenang dan damai bila saya memasuki ruang tersebut.  Segala masaalah dan runsing seperti di cubit buang dari kotak fikiran.  Cukup untuk membuat saya teringat segala kesilapan dan dosa.
Bilik yang harum kerana di penuhi dengan bauan minyak atar menusuk hidung dan Seriayu lantas berkata " Bilik ini ada ceritanya "! Cepat-cepat saya mengeluarkan pen dan kertas sebelum Seriayu terlupa.

     Pada malam Selasa, seperti kebiasaan Seriayu akan menunaikan solat Maghrib dan membaca Al-Quran sehingga masuknya waktu Isya'.  Sewaktu ia sedang membaca Al-Quran ia terlihat seekor tikus menyelinap disebalik almari yang tersusun buku-buku agama. Seriayu rasa marah kerana ia tidak mahu ruang solatnya dikotori dengan najis tikus.  Dipanggil suami serta anak lelakinya lalu mengepung tikus itu beramai-ramai.  Tikus itu dikejar mengelilingi ruang tersebut dan habis tempat itu tunggang terbalik dan bersepah.  Akhirnya tikus tadi dapat diserkup dengan bakul oleh suami Seriayu.  Cuma ia didalam longgokan kain buruk yang dibuat penghadang oleh anaknya.  Suami Seriayu serta anaknya agak geli dengan tikus, jadi waktu untuk membunuh tikus tersebut huru hara jadinya.  Lantas sepantas kilat dicapai kayu dari tangan suaminya lalu ditekankan kayu itu betul-betul atas tikus tersebut dan serentak itu juga tikus tersebut mengeluarkan satu bunyi jeritan yang nyaring dan menyeramkan.  Raungannya membuatkan bulu roma berdiri dan Seriayu teruskan juga sehingga tikus itu tidak bergerak lagi dan mati.  Bangkai tersebut dibuang kedalam longkang besar di depan rumah yang airnya mengalir laju.

  Pada keesokan harinya, waktu ingin menunaikan solat Subuh, badan Seriayu panas dan seluruh sendinya sakit dan lenguh-lenguh.  Ia mengadu pada suaminya lalu diberikan ubat demam yang terdapat di dalam peti sejuk.  Selepas sarapan dan suaminya ke tempat kerja, ia baring dan rehat di atas katil.  Demamnya beransur hilang dan datang kembali selepas Solat Asar.  Suaminya membuat andaian yang mungkin kerana sudah sampai masa untuk makan ubat lagi kerana sudah melebihi 6 jam.

     Kejadian yang sama berulang kembali pada hari Khamis dan ia menguatkan dirinya memandangkan malam itu adalah malam Jumaat.  Seriayu menunaikan solat Maghrib diruang solat dan beangan-angan ingin membaca Surah Yassin selepasnya tetapi akibat dari keadaan yang kurang sihat maka ia terbaring di atas sejadah sehinggakan ia terlelap.  Tiba-tiba ia bangun dengan bertelekung, mata yang merah menyala dan terbeliak lalu menerkam suaminya dan meminta agar diceraikan.  Suami dan anak-anak yang kebingungan menjadi panik seketika.  Anak-anaknya berlari keluar rumah sambil duduk memeluk diantara satu sama lain sedangkan ayah mereka sedang memujuk Seriayu dan memohon maaf kerana tidak menjaganya sewaktu Seriayu sakit kerana sibuk dengan kerjanya yang tak habis-habis.  Suara Seriayu bertukar garau dan mengilai-ngilai diantara tawa dan tangis dan waktu itulah suaminya sedar situasi yang sebenarnya lalu dibaca Surah Fatihah dan Ayat Qursi dengan kuat sambil memeluk erat isterinya yang meronta-ronta tetapi agak mudah memandangkan isterinya bertelekung maka tangan serta kakinya seperti terikat bila dipeluk.  Lama kelamaan Seriayu sedar dan ia mendengar tangisan anak-anaknya diluar rumah lalu dimarah suaminya dibiarkan anak begitu kerana malu dengan jiran tetangga.  Ia masih tidak sedar tentang kejadian itu dan bila anak-anaknya mendengar suara ibu mereka memanggil masuk, cepat-cepat mereka masuk dan memeluk ibu mereka sambil menangis.  Seriayu yang kembali pulih seperti sediakala telah memujuk anak-anak dan mendengar cerita dari suaminya tentang kelakuan dan permintaannya.  Seriayu beristigfar beberapa kali dan memesan pada suami dan anak-anak agar melihat pandangan mata Seriayu untuk mengetahui adakah ia kerasukan.  Orang kerasukan akan terbeliak mata dan pandangannya amat tajam, juga mengeluarkan kata-kata yang tak munasabah.

      Seriayu bersama suaminya membuat andaian, adakah kejadian tersebut ada hubung kaitnya dengan pembunuhan tikus pada malam selasa sebelumnya?.  Atau adakah disebabkan Seriayu melanggar pantang larang orang tua yang melarang kita dari tidur bertelekung diatas sejadah seperti mayat.  Wallahualam.....


Tamat.

Coretan dari,
Masryarnida.

Thursday, December 12, 2013

Langsuir atau Anjasmoro



  •        Selepas beberapa minggu Seriayu diganggu sewaktu ia balik ke rumah mertuanya, ia menjadi kurang sihat, sering sakit-sakit anggota sendi badan sehingga terpaksa dibawa ke hospital beberapa kali oleh rakan sekerja memandangkan sakitnya datang secara tiba-tiba.  Seriayu semakin kurus dan murung tambahan pula mereka orang muda yang tak percaya dengan benda-benda karut seperti sihir menyihir.  Jika difikirkan secara logik, Seriayu sakit dan dibawa ke hospital dan pihak hospital membuat pemeriksaan yang teliti memandangkan ia di masukkan ke wad selama 3 hari.  Seriayu di X-ray tumit kakinya, di ambil darah, air kencing dan di periksa rahimnya, takut-takut jika terdapat jangkitan kuman memandangkan ia baru melahirkan anak 6 bulan lepas.  Hasil pemeriksaan mendapati Seriayu sihat dan cergas.  Semakin hari sikap Seriayu pada suaminya mula berubah perlahan-lahan.  Bila berbicara, ia cuma memandang dengan ekor matanya.  Bila sesekali suaranya akan meninggi dan suaaminya seorang yang penyabar dan lembut tutur kata dan ini meredakan keadaan.

  •    Mereka mengambil keputusan untuk berubat secara tradisional dan Pusat Rawatan Islam menjadi pilihan.  Pada pagi itu Seriayu menangis dan enggan pergi ke pusat rawatan tetapi dipujuk suaminya dan berkata " Benda ni memang tak nak U berubat" dan dengan perlahan-lahan ia menghembuskan ayat Qursi pada ubun-ubun isterinya.  Lalu cepat-cepat mereka bertolak dan sewaktu di perkarangan pusat rawatan, Seriayu mula menangis semula dan seorang perawat di situ menyarankan agar suaminya membeli air mineral yang terdapat di situ dan membawa masuk Seriayu ke dalam bilik rawatan.  Perawat mula memegang perut Seriayu dengan tangan kirinya dan perut suami Seriayu dengan tangan kanannya serentak dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan menguatkan bacaannya bila Seriayu mula meronta-ronta seperti orang kerasukan.  Secepat kilat, perawat menumpukan bacaan dan dibantu oleh suami Seriayu memandangkan kekuatan Seriayu luar biasa dengan suaranya mula bertukar garau memaki hamun perawat tersebut.  Lama kelamaan Seriayu lemah dan terkulai dalam pelukan suaminya.  Bila air bacaan ayat-ayat suci di renjiskan ke muka dan kepalanya, Seriayu mula sedar dan merintih sakit tangannya, kemungkinan bekas pegangan suaminya yang terlalu kuat.  Perawat tersebut memberitahu, mereka berdua terkena Sihir Pemisah yang bertujuan untuk menceraikan mereka berdua.  Ia menyarankan agar Seriayu dimandikan dengan air bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tadi selepas Asar dan sebelum Maghrib dan air tersebut dibiarkan kering dibadan.

  •      Petang itu, suaminya memandikan Seriayu dan pada maghribnya rumah dipagar dengan air tadi di sekeliling rumah.  Sekitar pukul 12 malam lolongan anjing jelas kedengaran di perkarangan rumah Seriayu.  Suaminya membaca ayat-ayat suci Al-Quran ditambah dengan bacaan ayat-ayat suci yang diperdengarkan secara online.  Semakin lama semakin mendayu-dayu dan di selangi dengan suara seorang perempuan menangis merintih.  Suara tersebut semakin lama semakin jelas dan menghampiri tepi dinding bilik tidur Seriayu memandangkan rumah mereka lot tepi.  Terdengar seakan akan bumbung rumah di tabur pasir dan cakaran-cakaran di tepi dinding.  Keadaan tersebut berterusan sehingga sekitar pukul 3 pagi.  Barulah mereka dapat melelapkan mata.  Pada esok paginya, suami Seriayu mengambil cuti tergempar selama 3 hari lalu mereka pulang ke Kedah, rumah ibu bapa Seriayu.  Suaminya menceritakan perihal tersebut kepada kedua orang mentuanya lalu petang itu adalah hari kedua Seriayu mandi.  Selepas mandi, sewaktu Seriayu cuma berkemban untuk membiarkan air kering dibadannya, seekor lipan selebar pembaris atau 2 jari orang dewasa dan panjangnya hampir se kaki sedang merayap perlahan-lahan di belakang tempat duduk Seriayu.  Bapanya menjerit memanggil nama Seriayu dikuatiri binatang itu menyengat anaknya.  Lipan itu merayap perlahan-lahan seperti telah letih atau tua.  Cepat-cepat suami Seriayu membunuh lipan tersebut dan pada ketika itu juga ia mengalami sakit kepala yang teramat sangat.  Ibu Seriayu memberi menantunya meminum air ubat disamping ubat sakit kepala.

  •      Pada esoknya, sakit Seriayu telah seakan sembuh memandangkan ia memakan masakan ibunya sambil ketawa keriangan.  Bertambah nasi yang dimakannya dan wajahnya berubah ceria tetapi sakit kepala suaminya tak sembuh-sembuh.  Setelah selesai mandian ketiga dan pada hari keempatnya mereka pulang semula ke KL memandangkan keadaan suami Seriayu yang tak berkurangan dan ibu bapa Seriayu menyarankan agar mereka pergi semula ke pusat rawatan tersebut dan menceritakan keadaan yang berlaku dan adakah lipan yang dibunuh itu adalah seekor Jin.

  •      Mereka ditemani oleh adik Seriayu dalam perjalanan pulang.  Ketika itu waktu Maghrib sewaktu mereka tiba di kawasan Changkat Jering.  Seriayu yang kembali sihat seperti sediakala memicit-micit kepala suaminya perlahan-lahan sambil tuala basah yang diikat dikepala suaminya di basahkan lagi dengan renjisan air ubat.  Tiba-tiba Seriayu melihat kelibat seorang perempuan yang berbaju putih sedang terbang seiring kelajuan kereta di tepi tingkap suaminya yang sedang memandu.  Rambutnya mengurai panjang dan menutupi wajahnya dan sesekali jelas kelihatan matanya yang merah menyala dan kulit pipinya yang terkopek.  Seriayu mendiamkan diri dan ia membaca ayat-ayat suci didalam hatinya, kuatir adik dan suaminya menjadi takut.  Mereka tiba di KL sekitar pukul 11 malam dan Seriayu tidak dapat melelapkan mata kerana menjaga suaminya yang keletihan dan kesakitan.

  •      Esoknya, mereka berdua ke tempat rawatan itu semula dan menceritakan kejadian yang mereka alami.  Perawat tersebut memberitahu bahawa lipan itu adalah jelmaan jin, iaitu jin suruhan untuk Sihir Pemisah yang dituju.  Sepatutnya, lipan itu dibuang jauh-jauh dan bukannya dibunuh lalu ia memukul-mukul badan suami Seriayu sambil membaca ayat-ayat Ruqyah.  Sakit kepala yang suami Seriayu hidapi hilang serta merta dan jika tak mengalaminya sendiri tentunya sukar untuk ia mempercayai yang itu adalah sihir.

  •      Lembaga yang terbang di tepi tingkap menjadi persoalan pada Seriayu kerana makhluk itukah yang merintih menangis pada malam yang lalu atau ia adalah Langsuir yang berkeliaran di kawasan-kawasan berbukit dan kenapa ia menganggu masih menjadi tanda tanya.  Adakah kerana waktu itu, waktu Maghrib atau adakah itu rupa sebenar jin suruhan yang di hantar atau pasangannya.  Ataupun, itu bukannya Langsuir yang berkeliaran tetapi itu adalah Anjasmoro iaitu ilmu dan makhluk suruhan orang-orang tertentu. Wallahuallam ......................

  • Ditulis semula.
  • masryarnida.


     




Wednesday, December 11, 2013

Pocong


     Makhluk spesis ini yang paling aku gerun bila namanya disebut.  Susah juga aku nak pujuk Seriayu untuk menceritakan lagi tentang makhluk-makhluk ghaib ni.  Dulu pun bila aku pujuk dia untuk melukis gambar-gambar yang pernah dia ceritakan, susah sangat.  Itu pun dia lukis sambil lewa dan tak sampai 1/2 jam.  Bagi aku dari tak ada, itu pun dah kira cukup baik.

     Seriayu kurang gemar untuk menceritakan pengalaman-pengalaman aneh setelah dia berumahtangga.  Aku pujuk dan berjanji yang aku akan menjaga sensitiviti yang menyentuh tentang hal-hal keluarga.  Akhirnya, ia bersetuju dengan izin suaminya.

     Kisahnya bermula bila Seriayu telah mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki berasal dari Muar, Johor.  Setelah beberapa tahun berkahwin, mereka dikurniakan dengan 4 orang anak.  Mungkin dengan kuasa Allah, anak-anak Seriayu telah mengikuti jejak langkah ibu mereka yang membolehkan mereka melihat makhluk-makhluk ghaib ini.

     Pada suatu malam, anak sulung Seriayu membawa adiknya menaiki motosikal untuk membeli burger.  Mereka yang masing-masing berumur 17 dan 12 tahun membuat rondaan disekitar kawasan kejiranan sebelum membeli burger.  Tanpa mereka sedari, mereka sedang menuju ke satu kawasan penjuru taman perumahan yang agak sunyi dan suram dengan deretan-deretan pohon-pohon buahan yang rendang.  Disebelah kawasan perumahan tersebut terdapat sebiji rumah banglo yang ditinggalkan kerana semua penghuninya mati terbunuh dalam satu rompakan.  Si abang rabun jauh manakala si adik sedang menajamkan penglihatannya pada sekujur tubuh yang bersandar pada sebatang pokok di tepi jalan.  Mulut si abang berceloteh keriangan sedangkan si adik sedang mengoncang badan abangnya memberi isyarat.  Bila menghampiri kawasan tersebut, adiknya memeluk sambil membenamkan muka pada badan abangnya dan pada ketika itulah baru si abang dapat melihat dengan jelas makluk yang sedang bersandar itu.  Berkain kapan dengan matanya terbeliak tak berkelopak, hidung yang hanya tinggal lubang tanpa bentuk dan mulut yang ternganga menampakkan ulat-ulat yang merayap-rayap.  Tempat yang makhluk itu menyandar betul-betul dibawah lampu jalan dan ini membuatkan si abang memecut motornya sambil membaca ayat-ayat suci dan terus pulang kerumah tanpa membeli burger.

     Seriayu melihat kedua-dua anaknya masuk kerumah tergopoh-gapah dengan wajah yang pucat lesi.  Cepat-cepat Seriayu memberi anaknya meminum air Yassin yang telah tersedia memandangkan keadaan mereka yang tergamam.  Adik memulakan bicara dengan mengatakan yang ia melihat makhluk berkain kapan tapi abang tak mahu patah balik walaupun adik dah jerit pada abang.  Abang pula membalas dengan berkata yang ia tak nampak sehinggalah dah sampai kekawasan tersebut.  Kalau abang pusing takut motornya terbalik dan lagi parah, baik abang terus memecut jadi hantu tak ikut, jawabnya penuh yakin.  Seriayu mendapat idea untuk mengajar anaknya yang suka meronda malam dengan berkata yang hantu berkain kapan itu dipanggil Pocong dan ia akan melompat seiring dengan motor walaupun di pecut dengan laju tambahan pula ia akan mengangakan mulutnya seperti dikoyak dengan seluas-luasnya.  Kedua-duanya menjerit serentak dan melompat-lompat ketakutan dan semenjak dari itu, mereka tak keluar malam untuk meronda lagi.

     Pengalaman Seriayu sendiri dengan makhluk bernama Pocong ini berlaku sewaktu Seriayu baru mendirikan rumahtangga.  Ia pulang ke kampung halaman suaminya yang terletak di Muar, Johor.  Ketika itu azan Maghrib baru lepas berkumandang, Seriayu dan suami mandi bersama memandangkan yang Seriayu masih dihantui dengan kejadian semasa ia berumur 15 tahun iaitu Hantu Pokok Pisang yang menganggunya ketika ia hendak mandi tambahan pula bilik air rumah mertuanya terletak di luar rumah.  Selepas Seriayu mandi, ia ingin mencapai tuala yang terletak didinding bilik air dan ketika itulah ia terlihat seperti ada sesuatu bergerak disebalik dinding.  Bila diamati, ia merupakan hujung kain putih yang diikat dan sekilas pandang Seriayu tahu yang lembaga disebalik dinding adalah Pocong dan sepantas kilat ia mencangkung ditepi dinding sambil mencuit suaminya.  Suaminya yang masak benar dengan isyarat isterinya lalu cepat-cepat ia menyudahkan mandiannya sambil berkata "Kami tak kacau engkau dan lebih baik kau jangan kacau kami"!.  Selepas habis suaminya berkata begitu, mereka terdengar bunyi berdecit-decit seperti seseorang memakai Selipar Jepun yang basah sedang menjauhi tempat tersebut.  Cepat-cepat mereka naik ke atas rumah dan menunaikan solat.  Bila keadaan reda, suaminya bertanya pada Seriayu, " Makhluk apa"?.  Jawab Seriayu ringkas "Pocong"!. dan bila ia melompat anggota sendinya berdecit memandngkan isi badannya yang hampir reput.

     Kenapa Pocong menunjukkan dirinya, masih menjadi misteri dan tanda tanya tapi yang pasti bila lembaga ini muncul, ia cuma ingin memberi amaran bahawa ada makhluk yang lebih teruk yang akan datang menganggu iaitu Langsuir dan Hantu Raya.  Wallahuallam.............


Coretan,
masryarnida

Tuesday, December 3, 2013

Pontianak Cina


     Seriayu telah membesar menjadi seorang gadis yang berani mengejar cita-citanya walaupun terpaksa merantau kenegeri orang.  Ketika umurnya genap 20 tahun, ia telah bekerja di sebuah syarikat pembinaan yang memaksanya berpindah ke ibu kota.  Ia bekerja sebagai Stenographer kepada syarikat yang beroperasi di Damansara Jaya, Selangor.

     Pada mulanya, Seriayu menumpang di rumah bapa saudaranya untuk 2 bulan pertama.  Bila ia mendapat kenalan dan sama-sama berkongsi untuk membayar sewa bulanan rumah maka ia keluar dari rumah bapa saudaranya kerana ia tidak mahu menyusahkan bapa saudaranya itu.  Jika menetap di rumah bapa saudaranya di Seksyen 18, Shah Alam, ia terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk menaiki bas pada pukul 6 pagi dan mengelak dari kesesakan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan.  Ia dapat tahu dari rakan sekerja yang mereka sedang mencari penyewa untuk sebuah bilik stor di tingkat bawah sebuah rumah 2 tingkat di SS2, Petaling Jaya.  Seriayu bersetuju untuk menyewanya memandangkan rumah itu berdekatan dengan pejabat dan yang tinggal bersama adalah rakan-rakan sekerja walaupun mereka berbangsa Cina namun mereka berkawan baik.  Mereka tinggal di bilik atas bersama pasangan masing-masing tetapi Seriayu menyewa seorang diri dibilik yang kecil itu.  Seriayu akan berpindah masuk pada hari Jumaat memandangkan ia cuti pada hari Sabtu dan Ahad.

     Dengan bantuan seorang rakan bebangsa cina, Seriayu telah mengambil barang-barangnya selepas pulang dari kerja dan berpindah masuk ke rumah sewanya.  Pada malam itu tiada kejadian ganjil yang berlaku. Pada keesokannya Seriayu menyamak dan menyuci bilik tersebut dan ia membeli beberapa keperluan dapur untuk memasak memandangkan semua rakan-rakannya tidak memasak tetapi makan di luar.  Seriayu dapat berjimat cermat jika ia memasak memandangkan kos hidup di kota amat tinggi.  Pada pukul 8 pagi, Seriayu akan ke pejabat dengan berjalan kaki yang jauhnya sekitar 4 kilometer.  Maka kos pengangkutan dapat dijimatkan, badan pula akan lebih sihat dan cergas.

     Pada suatu hari, selepas pulang dari kerja, ia menyapu-nyapu sampah di dalam rumah sambil mengemop lantai.  Ia membersihkan persekitan dapur dan ruang tamu yang terletak di tingkat bawah.  Setelah selesai ia menonton tv sambil membaca surat khabar.  Sewaktu ia melangkah memasuki biliknya, matanya tertumpu pada sekeping kertas kuning yang hampir lusuh melekat di pintu biliknya.  Kertas tersebut bertulisan cina dan dakwatnya berwarna merah.  Tanpa berfikir panjang, ia mengoyak kertas tersebut lalu dibuang kedalam tong sampah.  Ia tidak bertanya pada rakan rumahnya kerana baginya ia mungkin peninggalan penyewa lama.

     Pada malam tersebut, setelah berbual-bual dengan rakan-rakannya, ia masuk tidur dalam lingkungan pukul 11 malam.  Pada malam itu, bulan penuh maka biliknya yang tidak berlangsir disuluhi dengan cahaya bulan maka ia dapat melihat walaupun suram.  Sedang ia nyenyak tidur, ia tiba-tiba terbangun seperti ada sesuatu yang mengejutnya dan ketika itulah Seriayu melihat benda bulat sebesar bola sepak melompat-lompat ke arahnya, ia terus menyambut benda bulat tersebut yang cuba menggigit lehernya.  Kelihatan sebiji kepala yang rambutnya kasar seperti mop, bermata kecil seperti mata ketam yang berwarna merah dan bertaring serta kulitnya berwarna hitam seperti terbakar cuba untuk menggigit lehernya maka ia memegang benda tersebut dengan kuat dan ia dapat merasa rontaan makhluk tersebut.  Perkataan yang keluar dari mulut Seriayu hanyalah 'Allahhhhh" dan serentak dengan itu makhluk tersebut melompat keluar dari tingkap lalu hilang.

     Pada keesokannya, Seriayu bercerita pada rakan sekerjanya berbangsa cina yang menolongnya memindah barang pada tempoh hari.  Ia tidak menceritakan kejadian itu kepada rakan serumahnya kerana ia tidak mahu mereka takut.  Rakannya memberitahu yang kertas kuning yang dikoyak Seriayu adalah tangkal supaya hantu tidak masuk kebilik tersebut menurut kepercayaan bangsanya.  Ia berpendapat, makhluk yang menganggu Seriayu adalah Pontianak Cina memandangkan ia cuba untuk menghisap darah Seriayu.  Selepas malam tersebut Seriayu tidur dalam keadaan biliknya terang benderang dan Al-Quran yang dibuka terletak di sebelah kepalanya waktu ia tidur.  Sehinggalah rakannya dari kampung yang bekerja bersamanya menyewa bersama Seriayu.

     Itulah pengalaman Seriayu yang paling mengerikan memandangkan ia dapat memegang, melihat dengan dekat dan mendengar degusan-degusan yang keluar dari hantu tersebut.  Adakah makhluk itu Pontianak Cina seperti diberitahu oleh rakannya, wallahhualam...................

TAMAT.

coretan dari,
masryarnida.
                                               
                                          lakaran penulis.
                                            Pontianak Cina


Monday, December 2, 2013

Bunian di Kaki Gunung Jerai


     Seriayu telah meningkat remaja dan umurnya telah masuk 17 tahun  Pada ketika itu ayah Seriayu membuka sebuah gerai di sebuah pusat peranginan.  Kawasan air terjun itu menjadi tempat tumpuan remaja serta keluarga-keluarga mencari kedamaian dan ketenangan setelah penat bekerja.  Ayah Seriayu menjual makanan seperti nasi berlauk, rojak dan air minuman di kaki Gunung Jerai itu.  Kawasan itu yang dipenuhi dengan pokok-pokok hutan, batu-batu hampar dan tersergam pula kesan-kesan peninggalan sejarah.

     Kawasan rekreasi itu lebih dikenali dengan Muzium Arkeologi Lembah Bujang atau Candi Batu Pahat kerana terdapat peninggalan candi dari zaman Parameswara itu menambahkan lagi rombongan-rombongan sekolah ataupun pelancong ke tempat tersebut pada hujung minggu.  Ayah Seriayu berniaga pada hari-hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan pertolongan anak-anaknya.  Gerai dibuka di pintu masuk muzium dan kedai makanan pula di buka dirumah  yang terletak di jalan masuk menuju ke tempat perkelahan.  Seriayu serta abang-abangnya bergilir-gilir menjaga gerai di pintu masuk muzium.

     Pada hari cuti persekolahan pula, gerai dibuka setiap hari dan Seriayu akan menjaga kedai sambil mengulangkaji pelajarannya.  Mereka sekeluarga akan bermalam di situ tanpa bekalan eletrik dan berbekalkan pelita minyak tanah.  Pada malam hari Seriayu akan melepak berbaring di batu hamparan yang panas sambil mendengar abang keduanya memetik gitar memainkan lagu Lefthanded "Ditengah Kepekatan Malam" di dalam kawasan yang suram dimana cuma dibantu oleh cahaya bulan serta kelihatan cahaya lampu bergemerlapan di pekan Sungai Petani yang sayup mata memandang.  Sesekali terdengar suara unggas yang mengerunkan dan sayup sayup di tengah hutan tebal itu.  Mata Seriayu menangkap sesuatu yang bergerak-gerak di kawasan jeram yang terletak dibawah tempat mereka berlepak.  Kelibat sekumpulan wanita berambut panjang serta berkepak seakan-akan daun pisang berkeliaran dikawasan tempat mandi dan kepak-kepak itu akan berkilat-kilat memancar bila terkena suluhan cahaya bulan penuh.  Sesekali terdengar suara hilaian yang jauh jika di dengar dengan teliti.  Seriayu menguis bahu abangnya sambil memberi isyarat dengan kepalanya mengajak abangnya masuk ke rumah.  Abangnya telah masak benar dengan kelakuan Seriayu kerana dia tidak akan menegur ataupun menunjuk sesuatu tetapi bila adiknya mengajak masuk tentu ada sesuatu.  Cepat-cepat ia melangkah pulang mengekori adiknya dan mereka terus naik kebahagian atas kedai untuk tidur.  Keesokannya Seriayu bercerita tentang apa yang dilihatnya dan serta merta mereka dimarahi oleh ibu kerana berkeliaran diluar pada waktu malam.

     Pada hari tersebut, adalah hari cuti umum yang jatuh pada hari Jumaat maka ramai pengunjung datang untuk berkelah ataupun berjanji temu.  Seriayu serta adik beradiknya sibuk seharian membantu ibu dan ayah mereka.  Sekitar pukul 3 petang, Seriayu pulang kerumah kedai selepas gilirannya diganti dengan abangnya yang selesai menunaikan Solat Jumaat.  Ia masuk ke rumah kedai dan yang kelihatan cuma ayahnya lalu ia bertanya tentang ibunya.  Ayahnya memberitahu yang ibunya ke atas bukit belakang rumah untuk mencari kayu api dan sepantas kilat ia berlari-lari mendaki bukit melalui jalan belakang untuk menemani ibunya dan tanpa ia sedari ibunya telah menuruni bukit melalui jalan depan.  Matanya liar mencari-cari kelibat ibunya dan akhirnya ia melihat susuk ibunya sedang memegang sebilah parang sambil berjalan memasuki semak-samun didepannya.  Tanpa berfikir ia memanggil-manggil ibunya sambil melangkah menurutinya kedalam hutan dan semakin Seriayu berlari semakin laju ibunya melangkah.  Akhirnya ia telah sampai ke satu kawasan yang cukup indah dimana jalan masuknya tersergam pohon-pohon yang melilit diantara satu sama lain sehingga terbentuk seolah-olah sebuah gerbang.  Jelas kelihatan batu hamparan yang putih bersih tanpa ada daun di atasnya, bau-bauan bunga yang semerbak mewangi mengiringi pemandangan yang membuatkan Seriayu terpukau serta naluri ingin tahunya membuatkan kakinya melangkah perlahan-lahan menghampiri kawasan tersebut seolah-olah menjemputnya masuk.  Jelas kelihatan kawasan didepannya seperti kawasan yang di jaga dan dipelihara akan kebersihannya.  Tiba-tiba Seriayu tersedar dari lamunannya bila sayup-sayup ia terdengar azan berkumandang dari jauh dan ia tahu ia berada didalam hutan tebal bila dilihat sekelilingnya yang ada cuma pohon balak yang sebesar pemeluk.  Cepat-cepat ia melangkah melawan arus menuju keatas semula sambil terkumat-kamit ia membaca ayat-ayat suci Al-Quran.  Ia telah menyeberangi dua anak sungai dan akhirnya ia telah sampai semula di bukit belakang rumahnya.  Ayah dan ibu Seriayu serta ahli keluarga sedang mencari-carinya dan bila Seriayu muncul terus ibunya mengucap kesyukuran.  Seriayu terus tidur keletihan tanpa mengeluarkan sepatah kata.  Dalam setengah jam bila ia tersedar ia menceritakan kisah ganjil yang dilaluinya dan baru ia terasa sakit bila dilihat seluar jeans yang dipakainya koyak dan kakinya sipenuhi dengan duri-duri tajam.  Ibunya membawa mereka pulang pada petang itu juga dan Seriayu demam akibat terlalu terkejut.

     Bila keadaan Seriayu sedikit pulih, ibunya memberitahu bahawa kawasan yang dilihat Seriayu adalah perkampungan Orang Bunian yang jika masuk kekawasan tersebut maka Seriayu telah terpisah dari alam dunia dan memasuki alam jin.  Azan yang Seriayu dengar adalah azan yang dilaung abangnya sewaktu usaha mencari Seriayu.  Azan itulah yang menyedarkan Seriayu dari pukauan makhluk tersebut dan ia menjadi peringatan pada kita jika tersesat dihutan maka laungkan azan.  Insyaallah kita akan mendapat petunjuk untuk keluar dari kawasan itu.  Wanita berkepak yang dilihat Seriayu adalah pari-pari malam yang mandi pada malam bulan mengambang.  Wallahuallam...........

TAMAT.

Dicoret oleh,
masryarnida.

                             Lakaran penulis
                         Bunian Di Kaki Gunung Jerai